Friday, October 3, 2014

AZMIN, MB YANG 'BERDENDAM'

JUMAAT, 03 OKT 2014

SUMBER....
TAK salah kalau IBM cop si Azmin ni sebagai MB yang berdendam. Dendamnya terhadap bekas MB Selangor yang dahulu, Khalid Ibrahim adalah dendam kesumat. "Cukuplah Azmin!'' - Yang sudah tu sudahlah. Jawatan MB telah dapat pun. Apa lagi yang kamu hendak? Itulah desakan rakyat Selangor kepada Menteri Besar baharu mereka, Mohamed Azmin Ali yang dianggap tidak sampai 10 hari memegang jawatan tersebut dilihat seolah-olah lebih banyak memberi tumpuan untuk melunaskan dendam politik terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Walaupun pada hari mengangkat sumpah jawatan pada 23 September lalu, Azmin dengan bangga menyatakan, "Selaku Menteri Besar pada hari ini, sudah tentulah tanggungjawab beliau untuk melaksanakan dasar peduli rakyat selain memastikan pentadbiran negeri benar-benar bersih dan adil.", tetapi semua itu seolah-olah ucapan politik semata-mata. Sebaliknya sehingga ke hari ini, Azmin masih belum membentangkan sebarang agenda yang dilihat bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat Selangor, apa yang beliau lakukan ialah mengkaji dan membatalkan satu persatu tindakan atau keputusan yang dibuat ketika kerajaan negeri di bawah pentadbiran Abdul Khalid. 

Langkah pertama yang beliau lakukan ialah membatalkan kenaikan kadar elaun empat jawatan utama iaitu Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri. Turut dilakukan ialah melantik semula Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Tidak cukup dengan itu, tindakan Azmin yang mahukan perjanjian penstrukturan semula industri air negeri itu dan kerajaan Persekutuan dikaji semula menimbulkan persoalan. Ini memandangkan Abdul Khalid sudah berkali-kali menegaskan, perjanjian itu dilakukan demi kepentingan rakyat, tetapi Azmin dilihat masih tidak berpuas hati apabila hari ini memohon kepada kerajaan persekutuan untuk membolehkan perjanjian itu yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) didedahkan kepada umum. Sebenarnya sebagai Menteri Besar, Azmin berhak melakukan tindakan tersebut tetapi dalam masa yang sama beliau tidak boleh menepis tanggapan bahawa semua itu berkaitan dendam politiknya terhadap Abdul Khalid. Mungkin sementara waktu, rakyat boleh menerima penjelasan Azmin bahawa beliau tidak ada dendam terhadap Abdul Khalid memandangkan bekas Menteri Besar Selangor itu "adalah kawan saya'' tetapi ia masih belum mampu menutupi sejarah politik antara kedua-dua. 

Semua orang tahu, Azmin dan Abdul Khalid ibarat `musuh tradisi' dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Azmin merupakan pengkritik utama pentadbiran Abdul Khalid dan pernah mempengerusikan beberapa mesyuarat PKR yang antara lain turut membincangkan penyingkiran Abdul Khalid sebagai Menteri Besar. Oleh itu Azmin perlu membuktikan beliau benar-benar tidak mempunyai dendam politik kepada Abdul Khalid dengan menghentikan tindakan-tindakan yang boleh ditafsirkan ke arah tersebut. Rakyat Selangor sudah bosan dengan pertelingkahan dan kemelut politik yang dicetuskan oleh PKR berikutan `Langkah Kajang' yang direkacipta oleh parti itu, justeru apabila Azmin dilantik sebagai Menteri Besar mereka mengharapkan segala kekaluatan tersebut dihentikan. Dalam laman sosial dan blog-blog ternyata rakyat Selangor mahukan Azmin menumpu perhatian kepada usaha meningkat taraf hidup mereka dan bukannya membelek satu persatu apa yang sudah dilakukan oleh Abdul Khalid. 


Azmin sudah berjanji gesaan Anwar yang mahukan beliau mendedahkan kepincangan dan keputusan meragukan yang dibuat dalam pentadbiran Abdul Khalid bukanlah satu perkara yang perlu disegerakan. Tetapi anehnya, tindakan yang beliau lakukan selepas 10 hari menjadi Menteri Besar seolah-olah menampakkan Azmin sengaja mahu mewujudkan keraguan terhadap apa yang dilaksanakan oleh Abdul Khalid ketika menjadi Menteri Besar. Bagaimanapun dalam keghairahan dan keterujaan tersebut, Azmin harus memahami beliau menjadi Menteri Besar bukan atas pilihan rakyat, beliau menduduki kerusi nombor satu Selangor bukan melalui satu pilihan raya tetapi beliau berada di situ kerana langkah politik songsang PKR melalui `Langkah Kajang' Azmin tidak harus melupakan Abdul Khalid mempunyai integriti yang cukup tinggi dan tidak mempunyai sebarang `rekod' yang boleh dikaitkan dengan soal moral. Abdul Khalid tidak ada rakaman litar tertutup (CCTV) dan tidak pernah disiasat oleh pihak berkuasa atas apa-apa penyelewengan sepanjang Menteri Besar. 

Disebabkan 'rekod' inilah, rakyat Selangor membuat keputusan terus memberi mandat kepada pakatan pembangkang. Mereka memberi kepercayaan itu bukan kerana PKR tetapi atas faktor Abdul Khalid. Inilah fakta yang tidak harus dilupakan oleh Azmin. Jika benar PKR mendapat kepercayaan rakyat kenapakah parti itu mendapat kerusi paling rendah berbanding sekutunya, DAP dan Pas yang masing-masing menguasai 15 kerusi sedangkan PKR hanya 14 kerusi? Oleh itu, dalam mentadbir Selangor adalah lebih baik Azmin berusaha memberi keyakinan kepada rakyat melalui dasar-dasar yang bertujuan untuk mensejahterakan mereka dan bukannya dilihat lebih tertumpu kepada usaha melunaskan dendam politik dengan Abdul Khalid. Malah lebih penting daripada itu, Azmin perlu berhati-hati dalam tindak-tanduknya supaya beliau tidak dianggap Menteri Besar bertaraf `kawalan jauh' kerana ia akan mengakibatkan rakyat Selangor menganggap nasib mereka bagaikan, `lari mulut buaya masuk mulut harimau'. Tunaikanlah janji yang beliau lafazkan pada 23 September lalu iaitu meneruskan program dan dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran Abdul Khalid kerana faktor itulah yang memungkinkan Azmin merasai nikmat menjadi Menteri Besar. Jika perkara seperti berterusan, IBM jangka 'tali hayat' Azmin sebagai MB tidak akan bertahan lama. Percayalah. Kita tunggu dan lihat nanti. Wasallam ~ IBM
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...