JEPUN MENDARAT DI KOTA BHARU, KELANTAN |
Tarikh Peristiwa pada 08-12-1941 Pada hari ini dalam tahun 1941, Tentera Jepun yang diketuai oleh Jeneral Takumi telah mendarat di Pantai Sabak di Kota Bharu, Kelantan. Tentera Inggeris di bawah pimpinan Brigadier Kay yang mengetuai ‘28th Indian Infantry Brigade' telah tewas di dalam usaha mempertahankan Kota Bharu. Semasa serangan tersebut, Inggeris menyangka bahawa tentera Jepun akan menyerang Singapura melalui laut. Sebaliknya tentera Jepun telah mendarat di Kota Bharu dan mara ke selatan. Kekuatan pertahanan udara Tanah Melayu pula adalah terlalu lemah jika dibandingkan dengan kekuatan tentera udara Jepun. Tentera Jepun telah mendapat tentangan hebat semasa pendaratannya di Kota Bharu. Walau bagaimanapun, Jepun berjaya menawan Kota Bharu dan mara ke negeri Pahang. Tentera Inggeris dan Rejimen Askar Melayu telah berjuang bermati-matian tetapi akhirnya mengalami kekalahan yang teruk dan terpaksa berundur ke selatan. Jepun telah menyerang Pulau Pinang, Ipoh, Slim River dan seterusnya menawan Kuala Lumpur. Menjelang 31 Januari 1942 tentera Inggeris dan sekutunya terpaksa berundur ke Singapura. Berikutan serangan yang berterusan, pihak Jepun telah berjaya menawan seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Pada hari in 8.12.1908, Sekolah Inggeris yang pertama telah ditubuhkan di negeri Kedah. Sekolah yang diberi nama "Sekolah Inggeris Kerajaan" yang mula-mula ditubuhkan yang kemudiannya diikuti dengan penubuhan beberapa Sekolah Inggeris Kerajaan yang lain. Guru Besar Pertama Sekolah Inggeris Kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1908 ini ialah Encik Mohamad Iskandar, Seorang guru kanan dari Penang Free School dan juga bapa kepada Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad. Pada awal penubuhannya, sekolah ini merupakan sebuah bangunan kayu yang sebelumnya telah diguna sebagai pejabat Ketua Menteri Kedah, Wan Mohd Saman. Dengan tiga orang tenaga pengajarnya sekolah ini hanya mampu menerima kira-kira 50 orang murid sahaja. Sekolah ini bagaimanapun semakin berkembang maju dan pada tahun 1911 sekolah ini dipindahkan dari bangunan kayu ke sebuah bangunan batu yang disewa terletak di Jalan Penjara Lama. Berikutan pertambahan murid yang begitu pesat dalam tahun 1917 Sekolah Inggeris Kerajaan ini berpindah lagi ke tapak tetapnya di Jalan Langgar dengan kelengkapan yang lebih baik. Di sini sekolah ini bertambah maju sehingga kemudiannya dalam tahun 1935 Sekolah Inggeris Kerajaan yang pertama ditubuhkan ini telah ditukar namanya kepada kolej Sultan Abdul Hamid mengambil sempena nama D.Y.M.M. Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang begitu mengambil berat tentang pelajaran rakyatnya. Penubuhan Sekolah Inggeris yang pertama di Negeri Kedah pada hari ini dalam tahun 1908, sesungguhnya telah membawa era baru dalam sistem pendidikan di Negeri Kedah pada masa itu khususnya dengan pengenalan pe indidikan Inggeris tersebut. # IBM : Informasi untuk semua. Selamat membaca, membaca menambah pengetahuan.!! |
No comments:
Post a Comment