04 Februari
Salam, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Hari Ini Dalam Sejarah menyentuh sedikit cerita semasa kita menyambut hari kemerdekan. Untuk cerita lanjut, jom baca....
SERUAN “HIDUP MELAYU” DITUKAR KEPADA “MERDEKA” |
Pada hari ini dalam tahun 1951, seruan “Hidup Melayu” yang digunakan oleh UMNO sejak penubuhannya telah ditukar kepada “Merdeka”. Persetujuan untuk menukarkan seruan tersebut telah dicapai dalam Persidangan Setengah Tahun Majlis Mesyuarat Perikatan Pemuda - UMNO yang telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Seruan “Merdeka” telah dipilih kerana ia lebih bertetapan dengan perjuangan nasionalis UMNO pada ketika itu yang memperjuangkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dari cengkaman British. Ini secara tidak langsung telah menyemarakkan semangat di kalangan penduduk Tanah Melayu untuk bangkit dan sama-sama bersatu padu dalam merealisasikan hasrat untuk mencapai kemerdekaan negara. Seruan “Merdeka” ini telah digunakan oleh UMNO dalam setiap perhimpunan besar yang diadakan hinggalah 31 Ogos 1957, apabila Y.T.M Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri telah melaungkannya sebanyak tujuh kali semasa upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka. Sesungguhnya, seruan “Merdeka” ini telah menjadi pencetus semangat dikalangan orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan negara.
DAN DI HARI YANG SAMA.....
PENGUMUMAN PILIHANRAYA UMUM DI SABAH DAN SARAWAK DISAMBUNG SEMULA |
PENGUMUMAN PILIHANRAYA UMUM DI SABAH DAN SARAWAK DISAMBUNG SEMULA Tarikh Peristiwa : 04-02-1970
Pada hari ini dalam tahun 1970, Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan Pilihanraya Umum 1969 akan disambung semula setelah ditangguhkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969. Ekoran daripada penangguhan itu, bagi Sarawak 48 kawasan negeri dan 24 kawasan Parlimen belum dipertandingkan lagi, manakala bagi Sabah pula 6 kawasan Parlimen sahaja yang tidak dipertandingkan lagi. Apabila keputusan pilihanraya diumumkan pada Jun 1970, di negeri Sarawak tiada satu parti yang mendapat majoriti, Parti Bumiputera, SNAP dan SUPP masing-masing mendapat 12 kerusi manakala Pesaka 8 dan SCA 3. Akhirnya dengan bantuan Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Parti Bumiputera dan SUPP telah bersetuju menubuhkan Kerajaan Campuran dengan Dato’ Haji Abdul Rahman Yaacob di pilih sebagai Ketua Menteri dan Stephen Yong menjadi Timbalan. Di Sabah pula, Parti Perikatan iaitu USNO dan SCA telah berjaya mendapat 10 kerusi Parlimen semasa pencalonan dan hanya tinggal 6 kerusi sahaja yang harus dipertandingkan dan yang menentang adalah calon-calon bebas sahaja. Apabila pilihanraya diumumkan Perikatan memenangi 6 kerusi Parlimen tersebut. Tun Mustapha sekali lagi dilantik Ketua Menteri Sabah. Dengan adanya pilihanraya ini proses penyuburan demokrasi berjalan dengan lancar di negara ini dan membawa kepada kesedaran tentang pentingnya penglibatan rakyat dalam parti-parti politik.
* Diucapkan selamat membaca, moga minda anda dapat menghayati apa yang berlaku di negara kita. Sebagai rakyat yang prihatin, perisitwa-peristiwa seperti ini harus kita ambil iktibar moga kita akan menjadi rakyat yang berguna dan sentiasa berterima kasih apa yang kerajaan kita telah buat untuk kita. Dan...kita juga harus bertanya pada diri kita, apakah yang telah kita buat dan sumbangan kepada kerajaan dan negara..? Ikhlas : IBM
Sumber : Arkib Negara |
|
No comments:
Post a Comment