Pages

Saturday, February 5, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

05 FEBRUARI

PERJANJIAN BARU SEMPADAN MALAYSIA-THAI
PERJANJIAN BARU SEMPADAN MALAYSIA -THAI
Tarikh Peristiwa : 05-02-1977

Pada hari ini dalam tahun 1977, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie mengumumkan satu perjanjian baru sempadan akan ditandatangani di antara Malaysia - Thailand apabila Perdana Menteri Datuk Hussein Onn mengadakan lawatan ke Thailand bulan Mac depan. Perjanjian baru ini telah digerakkan hasil rundingan antara Menteri Luar Malaysia Tengku Ahmad Rithauddin dengan Menteri Luar Thai Dr. Upadit Pachariyankun di Wisma Putra, Kuala Lumpur. Perjanjian baru ini hampir sama dengan perjanjian lama, perubahan yang dilakukan bertujuan memastikan keselamatan sempadan lebih terjamin dan usaha menghapuskan komunis di sempadan antara kedua-dua negara dapat dijalankan secara lebih berkesan. Dengan adanya pindaan perjanjian yang asal, akan membuka jalan kepada kerjasama seperti gerakan bersama tentera bagi menghapus pengganas di antara tentera kedua-dua negara. Antara peruntukan khas dalam perjanjian ini yang membolehkan pasukan tentera kedua-dua negara menyeberang masuk ke wilayah masing-masing bagi memburu pengganas. Perjanjian telah disempurnakan pada 4 Mac 1977 apabila Perdana Menteri Malaysia Datuk Hussein Onn mengadakan lawatan rasmi ke Bangkok pada 4-6 Mac 1977.

BACA LAGI.....
PERLETAKAN BATU ASAS SEKOLAH PRINCESS ELIZABETH JOHOR
Pada hari ini dalam tahun 1953, upacara perletakan batu asas sekolah Princess Elizabeth Johor Bharu, telah disempurnakan oleh Sultanah Johor, YTM Ungku Tun Aminah.. Bangunan batu ini telah siap dibina pada tahun 1954 dengan menggunakan baki derma perkahwinan Princess Elizabeth dan Prince Phillips, berdasarkan cadangan Sir Edward Gent. Berikutan itu ianya dinamakan Sekolah Princess Elizabeth. Sekolah Khas Kanak-kanak buta ini menyediakan pendidikan dari Darjah Satu hingga Darjah Enam dengan memberi penekanan terhadap kebolehan membaca dan menulis menggunakan huruf Braille. Disamping itu mereka juga didedahkan dengan kemahiran membuat anyaman dan pertukangan kayu serta terlibat dalam kegiatan seperti permainan muzik, sukan dan urusan rumahtangga. Sekolah berasrama penuh ini boleh menampung seratus orang kanak-kanak. Dahulu ia ditadbir oleh Kementerian Kebajikan Masyarakat sebelum diambil alih oleh Kementerian Pelajaran dan diletakkan di bawah Bahagian Pelajaran Khas pada 1960. Pembukaan sekolah ini menjadi titik permulaan kepada perkembangan dunia pendidikan negara setelah mencapai kemerdekaan. Ia telah memberi sinar baru kepada kanak-kanak buta di Malaysia dalam menempuh masa hadapan

* Kepada semua pembaca yang budiman, selamat beristrihat bersama keluarga yang tersayang di hujung minggu ini dan selamat membaca. Ikhlas dari : IBM

No comments:

Post a Comment