Pages

Friday, February 18, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

18 FEBRUARI


Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu Yang pertama

PERSIDANGAN PERTAMA RAJA-RAJA MELAYU
Tarikh Peristiwa : 18.02.1948

Pada hari ini dalam tahun 1948, Satu persidangan Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan di Dewan Majlis Perundangan Persekutuan, Kuala Lumpur. Persidangan ini merupakan satu perisitwa bersejarah kerana buat pertama kalinya selepas perjanjian Persekutuan dan Negeri-negeri ditandatangani kesemua Raja-Raja Melayu telah duduk bersama di meja rundingan. Persidangan ini telah dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Abu Bakar yang juga telah dilantik sebagai pengerusi. Baginda juga telah diberi penghormatan untuk memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada 106 orang pegawai dan anggota askar Melayu dari Batalion kedua. Persidangan ini telah diadakan bagi memenuhi ketetapan di dalam Perlembagaan 1948 yang menetapkan Raja-Raja Melayu untuk bersidang sekali dalam tempoh tiga tahun. Melalui persidangan ini Raja-Raja Melayu telah dapat menjalin kerjasama dan kesepakatan dalam hal-hal yang berkaitan dengan soal kepentingan rakyat secara bersama. Bersempena dengan persidangan yang ulung kali diadakan ini Raja-Raja Melayu, telah berikrar untuk bersatu memimpin negara demi menjamin kesejahteraan dan kemajuan Persekutuan Tanah Melayu. Kini setelah 50 tahun kemerdekaan negara, institusi raja di Malaysia masih tetap utuh dan unggul, lambang perpaduan dan kemakmuran negara.
PERASMIAN KONGRES EKONOMI ANJURAN PEMUDA UMNO
PERASMIAN KONGRES EKONOMI ANJURAN PEMUDA UMNO
Tarikh Peristiwa : 18-02-1989

Pada hari ini dalam tahun 1989, satu Kongres Ekonomi yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO telah berlangsung selama 3 hari di Kuala Lumpur. Kongres yang bermula daripada 17-19 Februari itu telah dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Encik Abdul Ghafar Baba. YAB Timbalan Perdana Menteri di dalam ucapannya menyeru agar orang-orang Melayu meneruskan usaha untuk menambahkan penyertaan mereka di dalam kegiatan-kegiatan ekonomi seperti perladangan dan perindustrian. Beliau menegaskan peluang-peluang pekerjaan terbuka luas kepada orang-orang Melayu untuk direbut dan tidak hanya mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata. Bidang-bidang Pertanian dan Perladangan misalnya memerlukan banyak tenaga muda untuk mengusahanya. Jika mereka sanggup untuk pulang ke kawasan-kawasan ini para majikan tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja-pekerja asing untuk menjalankan aktiviti di ladang-ladang tersebut. Sepanjang kongres selama tiga hari itu barisan pergerakan pemuda UMNO yang diketuai oleh Datuk Sri Najib Tun Razak telah membincangkan beberapa perkara pokok terutama masalah 30 peratus penyertaan bumiputera dalam bidang ekonomi yang menjadi asas dasar ekonomi negara selepas 1990. Pergerakan Pemuda UMNO beranggapan angka ini tidak lagi sesuai dengan kedudukan bangsa Melayu yang menjadi bangsa induk negara ini. Di akhir kongres kali ini Pergerakan Pemuda UMNO telah menerima sebulat suara 6 resolusi yang akan dikemukakan kepada kerajaan. Resolusi tersebut ialah:-
  1. Menolak had 30 peratus sebagai tahap maksimum sasaran pencapaian kaum bumiputera dalam bidang ekonomi dan tempoh 20 tahun sebagai asas pengagihan kekayaan negara.
  2. Perlaksanaan penyusunan semula masyarakat dan membina ekonomi bumiputera hendaklah berlandaskan kepada nisbah kependudukan sebagai asas pengagihan kekayaan negara.
  3. Pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan tanpa mengira kaum masih lagi merupakan satu fenomena bumiputera bukan sahaja di luar bandar tetapi juga di bandar.
  4. Dasar Ekonomi Baru telah memberikan kesan kepada masyarakat bumiputera tetapi tahap pencapaian masih tidak memuaskan.
  5. Pembangunan sumber tenaga manusia adalah merupakan asas jangka panjang dan kerajaan hendaklah menggubal satu dasar serta strategi secara tersusun dan menyeluruh ke arah menghadapi cabaran-cabaran masa hadapan.
  6. Kerajaan perlu meneruskan cara aktif dan memenuhi hasrat dan cita-cita Dasar Ekonomi Baru. Kerajaan juga hendaklah mengkaji semula arah aliran penyusunan ekonomi berbentuk deregulasi, pelonggaran syarat dan dasar mengurangkan penglibatan kerajaan dalam ekonomi negara.
Melalui keenam-enam resolusi berkenaan adalah diharapkan kedudukan ekonomi orang Melayu menjelang 1990 dapat diberikan perhatian utama. Pergerakan Pemuda UMNO akan mengemukakan resolusi-resolusi ini kepada Majlis perundingan Ekonomi Negara untuk dipertimbangkan. Sesungguhnya peranan pertubuhan-pertubuhan seperti ini telah dapat menjadikan kedudukan rakyat dalam negara mendapat perhatian utama.

SELAMAT MEMBACA

SUMBER : ARKIB NEGARA

No comments:

Post a Comment