PENUBUHAN LEMBAGA KEMAJUAN PERINDUSTRIAN MALAYSIA (MIDA) |
Tarikh Peristiwa : 04-03-1967 Pada hari ini dalam tahun 1967, Lembaga Kemajuan Perusahaan Persekutuan atau Federal Industrial Development Authority (FIDA) telah ditubuhkan di bawah Seksyen 2 (3) Akta (Penubuhan) Lembaga Kemajuan Perusahaan Persekutuan 1965. FIDA berfungsi sebagai sebuah badan autonomi untuk menggalak dan mempercepatkan pembangunan perindustrian di Malaysia. Di antara peranan utama FIDA ialah menyelaraskan rancangan perusahaan kerajaan dengan rancangan sektor swasta, menyelaraskan kemajuan perusahaan di negeri-negeri dan menjalankan kajian mengenai galakan-galakan bagi perusahaan eksport. Pada tanggal 1 Mac 1979, nama FIDA telah ditukar kepada Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia atau Malaysian Industrial Development Authority (MIDA) dengan pengwartaan Akta FIDA (Penukaran) Nama dan Pindaan, 1979. Tugas-tugas MIDA adalah seperti menilai permohonan untuk mendapatkan lesen pengilang di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 dan galakan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 serta memberi nasihat kepada Menteri Perdagangan dan Perindustrian mengenai penggubalan dasar-dasar yang berkaitan dengan penggalakan dan perindustrian. |
PENGUMUMAN PENUBUHAN MAKTAB TURUS ANGKATAN TENTERA YANG PERTAMA DI MALAYSIA |
Tarikh Peristiwa : 04-03-1971 Pada hari ini dalam tahun 1971, Menteri Muda Pertahanan, Tengku Ahmad Rithaudden Ismail telah mengumumkan penubuhan Maktab Turus Angkatan Tentera yang pertama yang akan dibina di Haigate, Kuala Lumpur (berdekatan dengan Kompleks Kementerian Pertahanan). Cadangan penubuhan Maktab ini telah mula disuarakan oleh Tun Abdul Razak Hussein sejak tahun 1969 lagi. Maktab Turus Angkatan Tentera merupakan institusi pengajian kedua tertinggi di dalam Angkatan Tentera. Matlamat utama penubuhan Maktab ini adalah untuk melatih pegawai-pegawai yang terpilih agar menjadi pegawai staf terlatih di dalam Tentera Darat, Laut dan Udara. Maktab yang telah dirasmikan pada 8 Januari 1972 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein ini telah memulakan kursus yang pertamanya pada Januari 1972 dengan 30 orang siswa dari ketiga-tiga perkhidmatan. Bilangan penuntut bertambah pada tahun berikutnya dengan penyertaan siswa dari Polis Diraja Malaysia dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Penyertaan siswa dari luar negara bermula pada tahun 1974. Pada tahun 1995, Maktab ini maju setapak lagi selaras dengan keperluan pertahanan negara apabila melaksanakan program berkembar lepasan ijazah dengan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, iaitu Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan. * TERUSKAN MEMBACA, JANGAN JEMU - IBM [SUMBER : ARKIB NEGARA] |
No comments:
Post a Comment