Pages

Monday, March 7, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

07 MARCH

Assalamulaikum semua.
Maaf di pinta kerana semalam tidak dapat dipaparkan 'Hari ini Dalam Sejarah'. Sedikit kesulitan. Harap Maaf. Jom kita intai apa yg berlaku pada hari ini....



PERSIDANGAN PERTAMA PENGURUS-PENGURUS FELDA

Tarikh Peristiwa : 07-03-1961
Pada hari ini dalam tahun 1961, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), mengadakan satu seminar di peringkat pihak Pengurusan untuk kali pertama telah diadakan di Kuala Lumpur. Berucap semasa merasmikan seminar tersebut, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein berharap seminar bukan sahaja memberi kebaikan kepada pengurus-pengurus tetapi juga kepada proses-proses perancangan pihak FELDA khususnya kepada masyarakat di luar kawasan dengan tumpuan kepada memperbaiki pendapatan penduduk yang menjadi peneroka di bawah rancangan FELDA. Berucap semasa perasmian tersebut Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein juga berharap pihak pengurusan akan dapat berkomunikasi dengan pihak peneroka supaya segala perancangan dapat dijalankan dengan licin dan teratur. Pembangunan tanah di luar bandar telah mendapat kejayaan yang gemilang hari ini, tentunya kejayaan ini hasil kerjasama yang erat di antara pihak pengurusan dan peneroka yang dapat memahami hasrat Kerajaan memajukan golongan peneroka. Dan seterusnya.......


RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA DIBENTANGKAN DI DEWAN RAKYAT
Tarikh Peristiwa : 07-03-1967
Pada hari ini dalam tahun 1967, Satu Rang Undang-undang mengenai penubuhan sebuah agensi yang bertanggungjawab mengawal penyebaran berita telah dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Penerangan dan Penyiaran Malaysia, Yang Berhormat Encik Senu bin Abdul Rahman. Rang Undang-undang itu ialah mengenai Pertubuhan Berita Nasional atau (BERNAMA). Semasa membentangkan rang undang-undang tersebut, Encik Senu menjelaskan bahawa BERNAMA yang akan ditubuhkan itu merupakan sebuah perbadanan bebas berdasarkan perkongsian di antara akhbar-akhbar dan jabatan-jabatan media kerajaan. BERNAMA juga tidak bertujuan hendak menapis atau menyekat berita-berita, sebaliknya akan mengembangkan aliran berita dengan lebih banyak lagi baik di dalam mahupun di luar negeri. BERNAMA akan ditubuhkan dalam tiga peringkat: Pertama ialah peringkat persediaan. Hanya peralatan yang asas sahaja diadakan. Dalam peringkat ini gerakan BERNAMA hanya terhad kepada ibu kota dan tempat-tempat yang berhampiran dengannya. Kedua, memperbesarkan gerakannya sehingga ke Sabah dan Sarawak di samping negeri-negeri di seluruh Malaysia Barat. Ketiga, menjadikannya sebuah syarikat yang dewasa hingga gerakannya meliputi seluruh ceruk rantau negara. BERNAMA akan diselenggarakan oleh sebuah lembaga pengurus terdiri dari sepuluh orang ahli dan seorang ahlinya terdiri dari wakil-wakil akhbar yang berlanggan dengan BERNAMA dan lima lagi terdiri dari wakil Radio Malaysia, Televisyen, Jabatan Penerangan, Perkhidmatan Penerangan Luar dan Kerajaan. Pengerusinya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Jemaah Menteri. Lembaga Pengurus pula akan mempunyai sebuah Majlis Pengelola yang akan bertanggungjawab mengawasi supaya BERNAMA mematuhi perlembagaannya. Majlis ini mengandungi lima orang dan diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi. Sesungguhnya dengan terbentang rang undang-undang BERNAMA di Dewan Rakyat pada hari ini dalam tahun 1967, BERNAMA akan dapat memberi kepada pembacanya gambaran yang lebih luas mengenai perkara-perkara yang berlaku sama ada di dalam atau di luar negeri.

SELAMAT MEMBACA - IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]

No comments:

Post a Comment