Pages

Tuesday, March 8, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

08 MARCH
Assalamualaikum pembaca yang budiman.

Jom kita tinjau apa yang berlaku pada hari ini......

SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH DIPUTERAKAN
Tarikh Peristiwa : 08-03-1926

Pada hari ini dalam tahun 1926, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah diputerakan di Istana Bandar, Kuala Langat. Baginda merupakan putera sulung yang tunggal. Berdasarkan salasilah kekerabatan di sebelah ayahandanya, Baginda adalah berketurunan langsung dari kerabat diraja Bugis Sulawesi. Baginda merupakan tokoh pemerintah kelapan menaiki takhta kerajaan negeri Selangor dan memerintah dari tahun 1960 hingga 2001. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pengkalan Batu, Klang pada tahun 1934. Pada tahun 1936 Baginda melanjutkan pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1941. Pada tahun 1947, Baginda melanjutkan pelajaran di School of Oriental and African Studies, Universiti London selama dua tahun. Sekembalinya ke tanah air, Baginda berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Pelatih Jabatan Ukur Negeri Selangor sebelum dilantik sebagai Nazir Sekolah selama lapan tahun. Dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950. Apabila ayahanda Baginda, Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj mangkat pada 1 September 1960, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dilantik sebagai Sultan Selangor pada 3 September 1960 dan ditabalkan sebagai Sultan pada 28 Jun 1961. Pada 26 April 1999, Baginda telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-11 sehingga kemangkatan Baginda pada 21 November 2001..............DAN PADA HARI YANG SAMA.......





PENGUMUMAN BERMULANYA PERKHIDMATAN KERETAPI KELANTAN – BANGKOK
Tarikh Peristiwa : 08-03-1967
Pada hari ini dalam tahun 1967, Menteri Pengangkutan Tan Sri Sardon Jubir mengumumkan bermulanya perkhidmatan keretapi Kelantan - Bangkok. Pengumuman ini dibuat ketika Menteri Pengangkutan itu merasmikan pembukaan stesen keretapi Wakaf Baru di negeri Kelantan. Dalam ucapan perasmiannya itu Tan Sri Sardon Jubir juga telah menyatakan perkhidmatan keretapi Kelantan-Bangkok ini adalah hasil dari kerjasama Malaysia dan negeri Thai dalam gabungan ASA. Beliau juga mengumumkan bahawa keretapi pertama dari Kelantan ke Bangkok akan berlepas pada pukul 6 pagi 9 Mac 1967 dari stesen wakaf baru. Manakala keretapi pertama dari Thailand pula akan tiba di Tumpat pada malam itu. Pada peringkat permulaannya perkhidmatan keretapi Kelantan-Bangkok ini akan dijalankan dua kali seminggu dan akan ditambah kelak jika perlu.Di samping itu Tan Sri Sardon Zubir juga telah mengumumkan perkhidmatan-perkhidmatan keretapi selanjutnya iaitu:-
  1. Mulai 1 Julai 1967 Keretapi Tanah Melayu menyambung perkhidmatan relkar diesel Prai - Padang Besar hingga ke Haadyai di negeri Thai.
  2. Mulai 1 April 1967 perkhidmatan relkar diesel antara Kuala Lumpur dengan Singapura akan dilancarkan.
Di masa merasmikan pembukaan stesen wakaf Baru itu juga Menteri Pengangkutan Tan Sri Sardon Jubir telah mengumumkan beberapa rancangan baru pihak keretapi Tanah Melayu.Antaranya ialah:-
  1. Penggunaan enjin diesel sebagai menggantikan 112 buah enjin kuasa wap yang ada pada masa itu.
  2. Peruntukan sebanyak 100 buah gerabak khas bagi mengangkut kayu-kayu balak.
Sesungguhnya perkhidmatan yang diberikan oleh Keretapi Tanah Melayu seperti Perkhidmatan Kelantan - Bangkok ini telah dapat memberikan kemudahan perhubungan antara Malaysia dengan negeri Thai di samping menggalakkan pelancongan antara dua buah negara ini.

SELAMAT MEMBACA MOGA MENDAPAT INPUT YANG BERGUNA - IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]

No comments:

Post a Comment