WARTA PERAK DITERBITKAN Tarikh Peristiwa : 13-03-1937 |
Alat media massa seperti radio, televisyen, majalah, akhbar dan sebagainya memainkan peranan penting dalam menyampaikan sebarang maklumat sama ada yang bercorak hiburan, pentadbiran, politik, kebudayaan dan sebagainya untuk makluman orang ramai. Pada hari ini 13.3.1937 sebuah akhbar Melayu tulisan jawi bertajuk Warta Perak telah diterbitkan dengan rasminya oleh Encik Ahmad Noor b. Abdul Shukur sebagai Ketua Pengarang. Akhbar itu diterbitkan di Ipoh, Perak tetapi percetakannya dijalankan di Persama Press, Pulau Pinang kerana di negeri Perak tidak mempunyai kelengkapan cukup untuk menjalankan kerja-kerja percetakan. Akhbar Warta Perak memuatkan rencana-rencana yang bercorak pembaharuan dan boleh menimbulkan semangat orang-orang Melayu ke arah perjuangan kebangsaan, di samping memuatkan rencana-rencana mengenai soal-soal agama dan kehidupan masyarakat desa. Di antara penulis-penulis yang menulis dalam Warta Perak ini iaitu Allahyarham Datuk Ahmad Boestaman yang terkenal dengan halaman Pemudanya, Ahmad Ismail dengan nama samarannya `Ahmady Ismara' dan Allahyarham Abdul Rahman Alyubi dengan nama samaran `Pak Tua'. Selain dari itu guru-guru sekolah dari seluruh tanahair juga turut menyumbangkan berita-berita dan rencana-rencana untuk dimuatkan di dalam akhbar ini. Walaupun akhbar Warta Perak mendapat sambutan yang menggalakkan dari pembaca-pembaca bukan sahaja di negeri Perak malah di seluruh pelusuk tanahair, namun ia tidak dapat bertahan lama atas sebab-sebab kekurangan modal dan menghadapi kesulitan dari segi pengedarannya dan ianya bertahan lebih kurang setahun sahaja. DAN DIHARI YANG SAMA...... |
‘SISTEM SALLEH’ DILANCARKAN DI PULAU PINANG. Tarikh Peristiwa : 13-03-1968 |
Pada hari ini dalam tahun 1968, Pasukan Polis Pulau Pinang telah melancarkan ‘Sistem Salleh’ di seluruh Bandaraya Pulau Pinang untuk menyiasat dan mencegah kejadian-kejadian jenayah. Pengumuman pelancaran sistem tersebut telah dibuat dalam satu sidang akhbar oleh Ketua Polis Daerah George Town, Encik Abdul Majid Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah George Town, Pulau Pinang. Menerusi sistem ini sebahagian besar anggota polis akan mengunjungi setiap rumah di Bandaraya George Town untuk bertemu dengan orang ramai bagi menyiasat secara mendalam tentang kesulitan-kesulitan yang dialami oleh penduduk di kawasan tersebut. Dalam sistem yang baru diperkenalkan ini, anggota-anggota polis telah ditugaskan menjaga dan mengawasi kawasan-kawasan yang telah ditetapkan manakala orang ramai pula diseru agar memberi kerjasama sebaiknya kepada anggota polis. Dengan pelancaran ‘Sistem Salleh’ pada hari ini dalam tahun 1968, keadaan jenayah di Bandaraya Pulau Pinang telah dapat dibendung dengan kerjasama masyarakat setempat. Sesungguhnya, tugas pasukan polis bukan sahaja memastikan keamanan negara dan kesejahteraan rakyat, malah sebagai medium menegakkan undang-undang negara. SELAMAT MEMBACA - IBM [SUMBER : ARKIB NEGARA] |
No comments:
Post a Comment