UPACARA PERASMIAN SEKOLAH RAJA CHULAN, IPOH PERAK Tarikh Peristiwa : 28-03-1969 |
Kerajaan telah berusaha untuk menambahkan bilangan sekolah-sekolah di setiap negeri bagi keperluan pendidikan rakyat yang semakin bertambah dengan begitu pesat sekali, setelah negara mencapai kemerdekaan. Sekolah Raja Chulan merupakan sebuah sekolah yang ditubuhkan di Ipoh Perak bagi menampung keperluan pelajar-pelajar di Ipoh. Sekolah tersebut yang menelan belanja lebih kurang RM 316 ribu, telah dirasmikan pada hari ini 28.3.1969 oleh Menteri Pelajaran Malaysia En. Mohd. Khir Johari. Di dalam ucapan perasmian antara lain Encik Khir Johari mengusulkan agar guru-guru sentiasa melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan akademik serta mana-mana guru yang mempunyai kelulusan tambahan diberi bonus, sebagaimana yang disebutkan dalam Laporan Aziz. Berikutan dengan perkara ini guru-guru adalah digalakkan untuk mengambil peperiksaan dan mengikuti kursus yang diadakan dengan diberi kemudahancuti dan sebagainya bagi mencapai hasrat kerajaan untuk melengkapkan diri guru-guru sejajar dengan perkembangan pelajaran di negara ini. Sesungguhnya dengan perasmian sebuah lagi sekolah baru ini menandakan bertambah satu lagi kemajuan di bidang pelajaran untuk generasi yang ada dan yang akan datang. Ini merupakan salah satu di antara banyak kemajuan dan kemudahan dalam pendidikan yang telah diterima semenjak negara ini mencapai kemerdekaan. |
LALUAN DAMANSARA – SUNGAI BULUH DIBUKA KEPADA LALULINTAS Tarikh Peristiwa : 28-03-1992 |
Pada hari ini dalam tahun 1992, Menteri Kerja Raya, Y.B Datuk Leo Moggie telah merasmikan pembukaan laluan Damansara - Sungai Buluh - Rawang sejauh 22 kilometer. Laluan baru ini berharga RM 232.1 juta menghubungkan Lebuh raya Baru Lembah Klang (NKVE) dengan Lebuh raya Utara Selatan telah dapat mempercepatkan perjalanan 52 kilometer dari Klang ke Rawang dengan hanya 30 minit berbanding 90 minit melalui pusat bandar Kuala Lumpur. Pada majlis tersebut juga Menteri Kerja Raya menyatakan, bahawa Projek Lebuh Raya Utara- Selatan dari Bukit Kayu hitam ke Johor Baharu kini berjalan lancar dan dijangka siap pada awal tahun 1994. Hampir keseluruhan laluan ini diperbuat daripada konkirt berturap dan selebihnya tar iaitu di atas jambatan dan jalan susur. Pembukaan laluan ini membolehkan pengguna keluar masuk dengan mudah melalui lima persimpangan dari Bukit Raja ke Pelabuhan Klang dan Klang, Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Subang, Damansara ke Petaling Jaya, Sungai Buluh melalui Kepong ke Kuala Lumpur dan Petaling Utara. Laluan ini mula di kenakan bayaran tol dengan kadar bayaran paling minimum 60 sen bagi laluan Damansara - Sungai Buluh manakala bayaran maksimum adalah sebanyak RM 2.40 untuk laluan Bukit Raja – Rawang. SELAMAT MEMBACA. IKHLAS DARI : IBM [SUMBER : ARKIB NEGARA] |
No comments:
Post a Comment