KUALA LUMPUR, – Penganalisis politik tempatan, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussein melihat perkembangan pakatan pembangkang khususnya PKR sebagai langsung tidak konsisten dan menjangka hanyatnya akan berakhir berikutan pelbagai isu dalaman yang melanda parti terbabit.
Katanya, jika mengikut trend semasa, adalah sukar bagi PKR untuk mengekalkan sokongan bukan hanya dari kalangan ahli-ahlinya sendiri tetapi juga masyarakat keseluruhannya.
“PKR berdepan dengan masalah pemimpin, kepimpinan dan hal ini akan lebih menyukarkan lagi mereka untuk menentukan haluan dalam arena politik apatah lagi pemimpin tertingginya iaitu Anwar Ibrahim berdepan dengan masalah peribadi,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Jelasnya, hal-hal dalaman PKR ini secara tidak langsung menjadi faktor penolak yang menyebabkan hilangnya rasa percaya dan keyakinan anggota di dalamnya untuk terus bersama dalam parti tersebut.
“Kita melihat watak Anwar ini ibarat seorang general perang yang terus bercakap soal keyakinan diri dan matlamat peribadinya tanpa mahu mengaku kalah biarpun sebenarnya beliau tidak lagi mendapat sokongan rakyat.
“Kepimpinan tertinggi parti sendiri menghadapi masalah yang gagal untuk dijelaskan kepada ahli-ahlinya sedangkan secara keseluruhannya anggota PKR mahukan matlamat perjuangan yang nyata, dan ini telah menyebabkan ramai di kalangan mereka meninggalkan parti tersebut kerana kegagalan pemimpin utamanya untuk memainkan peranan dan melunaskan semua impian yang telah dinyatakan sebelumnya,” katanya.
Ahmad Atory yang juga pensyarah politik di Universiti Sains Malaysia (USM) juga memberitahu bahawa Anwar cenderung mengamalkan teori wacana dalam kepimpinannya untuk mempengaruhi rakyat bagi berpihak keadaan dirinya.
“Pandangan ini umumnya dipergunakan oleh golongan sosialis dalam perjuangan mereka untuk menyampaikan idealogi mereka kepada rakyat dan diaplikasikan sepenuhnya sehinggakan tidak akan sanggup untuk mengaku kalah biarpun sudah tidak mendapat sokongan dari rakyat.
“Kita lihat bagaimana sikap Anwar biarpun ramai di kalangan sahabatnya yang sebelum ini menjawat kedududkan tinggi dalam kepimpinan PKR meninggalkan beliau, tetapi Anwar tetap mahu mencipta pengaruh sendiri dengan mewujudkan pelbagai persepsi sama ada dengan memburuk-burukkan kerajaan atau mengalihkan perhatian kepada perkara lain.”
Jelasnya lagi, inilah ketempangan politik Anwar yang tetap mahu mendabik dada biarpun sudah semakin tenggelam dengan pelbagai perkara dan para penyokongnya sudah tidak yakin dengan kepimpinannya.
“Pada pandangan saya, Anwar ini akhirnya akan tenggelam dan ditinggalkan sebegitu sahaja sedangkan dirinya tetap mahu menegakkan apa yang dipercayainya tanpa mahu mengaku kalah. Inilah Anwar Ibrahim,” tegasnya. - MediaUMNO
No comments:
Post a Comment