Pages

Tuesday, May 3, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

03 MAY

Lambang Negara-Negara Komanwel


ASSALAMUALAIKUM PEMBACA YANG BUDIMAN.
BERJUMPA KEMBALI HARI INI DALAM SEJARAH.

PERSIDANGAN PERTAMA MENTERI-MENTERI KOMANWEL
03-05-1960

Pada hari ini 3.5.1960 Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah menyertai Persidangan Perdana Menteri-Perdana Menteri Komanwel buat pertama kalinya selepas mencapai kemerdekaan. Persidangan ini yang dilangsungkan di London telah dihadiri oleh Ketua-Ketua Negara Britain, Canada, Afrika Selatan, India, Pakistan, Ceylon, Ghana, Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Rhodesia Nyasaland. Perwakilan Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan yang lain termasuk Encik Ghazali bin Shafie Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri, Tengku Yaakub Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu di United Kingdom dan Tengku Jaafar Penasihat di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu di London. Persidangan ini berlangsung selama 10 hari dan dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri British Tuan Harold McMillon. Perbincangan utama dalam persidangan ini tertumpu kepada soal-soal keamanan dunia seperti soal perhubungan antara blok komunis dengan dunia bebas, masalah hubungan timur barat, soal perlucutan senjata dan perkara mengharamkan ujian-ujian senjata Nuklear. Soal yang berkaitan dengan Dasar Apartied Afrika Selatan telah disuarakan di dalam pertemuan-pertemuan tidak rasmi di kalangan pemimpin-pemimpin yang hadir. Perdana Menteri dari Negara Komanwel yang termuda sekali Tunku Abdul Rahman telah menimbulkan soal perbezaan layanan terhadap kaum-kaum di Afrika Selatan. Tunku Abdul Rahman telah mengemukakan perkara ini ketika membalas ucapan selamat datang Perdana Menteri British kepada anggota-anggota perwakilan persidangan tersebut. Di dalam ucapannya Tunku Abdul Rahman telah menyebut tentang kesan-kesan dasar perkauman Afrika Selatan itu ke atas perhubungan di antara negara itu dengan negara-negara komanwel yang lain. Tunku telah menyuarakan harapan agar Perdana Menteri-Perdana Menteri Komanwel berpeluang membincangkan soal itu sementara mereka berada di London. Walaubagaimana pun sidang telah menegaskan adat kebiasaan persidangan Komanwel yang tidak akan membincangkan soal-soal dalam negeri negara-negara anggota. Tunku Abdul Rahman telah bertindak tegas memprotes dan menentang dasar perkauman Afrika Selatan itu. Hasil dari protes ini dalam tahun 1961 negara-negara Komanwel telah mengundi untuk menyingkirkan Afrika Selatan sebagai ahli. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah menyokong tindakan itu.

Pemulauan sepenuhnya terhadap barang-barang Afrika Selatan telah dilakukan dan diikuti oleh negara-negara lain yang menentang Dasar Apartied.


SELAMAT MEMBACA. IKHLAS DARI : IBM

[SEMBER: ARKIB NEGARA]

No comments:

Post a Comment