Pages

Tuesday, May 24, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

24 MEI

Assalamu'alaikum w.b.t dan salam ukhwah

HARI INI DALAM SEJARAH :

Y.A.B. TUN ABDUL RAZAK MENGADAKAN LAWATAN RASMI KE SOVIET UNION
Tarikh Peristiwa : 24.05.1968

Hubungan diplomatik dengan negara-negara luar adalah merupakan tradisi negara kita sejak dari zaman Kerajaan Melayu lama lagi. Misalnya hubungan diplomatik di zaman Kerajaan Melaka diadakan bagi mempastikan perdagangan dan kerjasama antarabangsa dapat diwujudkan dan menjadikan pelabuhan Melaka sebuah pusat perdagangan antarabangsa yang terkenal. Tradisi seperti ini diteruskan dalam sistem pentadbiran moden terutama selepas negara beroleh kuasa memerintah sendiri selepas 31 Ogos 1957. Pada hari ini 24 Mei 1968. Y.A.B. Tun Abd. Razak, Timbalan Perdana Menteri telah tiba di Moscow, Soviet Union untuk melakukan lawatan ke negara tersebut. Lawatan rasmi ini adalah yang pertama sekali dilakukan oleh seorang pepimpin Malaysia ke negara berkenaan. YTM Tunku Abd. Rahman sebelumnya memaklumkan bahawa lawatan ini adalah atas undangan kerjaaan Soviet Union kepada negara kita. Lawatan Tun Abd. Razak ke Moscow ini adalah merupakan destinasi terakhir beliau dalam rangka lawatan selama 25 hari ke negara-negara Eropah termasuk India. Tun Abd. Razak telah memulakan lawatannya pada 1 Mei 1968 ke negara-negara India, Britain, Denmark, Belgium, Perancis, Jerman dan terakhir ke Moscow. Lawatan ke negara-negara ini adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan negara-negara tersebut terutama negara Eropah. Sebagai sebuah negara yang baru 11 tahun mencapai kemerdekaan, Malaysia memerlukan bantuan dari negara maju di Eropah untuk menjayakan rancangan-rancangan pembangunan di samping menjadi pusat pemasaran barang-barang daripada negara-negara tersebut. Bantuan-bantuan dari segi teknikal, terutamanya amat diperlukan bagi meneruskan agenda pembangunan negara. Ketibaan Tun Abd. Razak di Moscow telah disambut oleh Timbalan Perdana Menterinya Vladimir N. Novikov dan Timbalan Menteri Luar N.P. Firyubin. Sementara rombongan negara kita pula turut disertai oleh Encik Hussien Osman, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Bragedier Ismail Ibrahim, Ketua Turus Kementerian Pertahanan dan Pegawai Kerajaan yang lain. Tun Abd. Razak menjelaskan lawatan ini adalah lawatan muhibbah bagi memperkukuhkan hubungan yang sedia ada. Rundingan dan perbincangan akan melibatkan berbagai perkara yang dirasakan perlu oleh negara tuan rumah, termasuklah soal bantuan pembangunan dan masalah-masalah dunia termasuk soal Vietnam dan kedudukan Asia Tenggara. Selain dari itu kerajaan Soviet Union juga bercadang untuk membuka kedutaannya di Kuala Lumpur tidak lama lagi. Hubungan baik antara Soviet Union dan Malaysia telah membuktikan bahawa Kerjasama ini penting bagi menjaga kestabilan ekonomi dan politik di rantau ini. Selain dari itu bantuan dari segi kepakaran dan teknikal juga telah dapat membantu sedikit sebanyak pembangunan negara.


SELAMAT MEMBACA. IKHLAS DARI : IBM

SUMBER : ARKIB NEGARA

No comments:

Post a Comment