KUALA LUMPUR, 16 Mei — Pemuda Umno mendesak agar Putrajaya tidak menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya mahu kerajaan mencari jalan ke arah penjimatan bestari dan penerokaaan usaha bagi meningkatkan nilai aset dan hasil dilaksanakan terlebih dahulu demi kebajikan rakyat.
Pergerakan itu juga berkata pihaknya gusar dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang menggesa rakyat agar bersiap sedia dengan kemungkinan kenaikan harga minyak RON95.
Laporan media semalam memetik Ismail Sabri berkata, kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.
Beliau berkata, kemungkinan itu ada memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.
“Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu nanti rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga,” katanya.
Pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan harga barang kemungkinan naik kerana kemungkinan kerajaan mengkaji balik subsidi ekoran peningkatan kos subsidi tahun ini berbanding tahun lalu.
No comments:
Post a Comment