SIDANG RAJA-RAJA MELAYU (DURBAR) KE - 2 TARIKH PERISTIWA : 20.07.1903 |
Pada hari ini 20.7.1903, Sidang Raja-raja Melayu atau Durbar ke 2 telah berlangsung di Kuala Lumpur. Ia dihadiri oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan bagi negeri Selangor, Perak, Pahang dan Yam Tuan Negeri Sembilan. Pihak Inggeris ke Persidangan ini telah diwakili oleh Residen General W.H. Treacher dan Residen-residen yang terdiri dari Frank Swettenham, J.P. Rodger, D.G. Campell dan W. Egerton. Durbar ke 2 ini telah memberikan peluang Raja-raja Melayu menyuarakan rasa tidak puas hati dan buah fikiran demi kepentingan orang-orang Melayu. Sultan Idris, Sultan Perak dan yang paling aktif di kalangan raja-raja telah mengemukakan berbagai isu yang patut diberi perhatian. Baginda menggesa supaya lebih ramai orang Melayu dilantik ke jawatan yang lebih tinggi dalam jabatan-jabatan kerajaan; menentang usul Inggeris bagi menyatukan negeri-negeri Melayu Bersekutu kerana penyatuan dan pemusatan kuasa boleh mengakibatkan Sultan kehilangan kuasa mutlak dan berharap agar Negeri-negeri Melayu Bersekutu dikekalkan sebagai entiti yang berasingan. Baginda menegaskan bahawa perlantikan Residen General adalah bertentangan dengan syarat-syarat Perjanjian Pangkor yang menetapkan Sultan Perak menerima residen sebagai penasihat dan bukan Residen General. Walaubagaimanapuan Durbar ke 2 yang berlangsung selama 3 hari ini memberi erti yang besar kepada raja-raja Melayu. Ia bukan hanya memberi kesempatan bersuara malah ia juga membuka peluang kepada sultan memperjuangkan hak-hak mereka. Durbar ke 2 ini juga telah membuka jalan ke arah penubuhan Majlis Persekutuan 1909 yang diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi dan dianggotai oleh Residen General, Sultan dari ke Empat buah negeri dan residen masing-masing serta 4 orang wakil tidak rasmi. Hasil dari tertubuhnya Majlis Persekutuan ini Pesuruhjaya Tinggi menjadi orang yang paling berkuasa dan Sultan-sultan telah gagal memulihkan kuasa mereka. |
No comments:
Post a Comment