MAJLIS PERAYAAN ULANGTAHUN YANG KE 60 (JUBLI INTAN) MAKTAB PERGURUAN SULTAN IDRIS, TANJONG MALIM, PERAK TARIKH PERISTIWA : 31.07.1983 |
Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak telah ditubuhkan pada 1922. Maktab ini ditubuhkan bagi menggantikan Kolej di Melaka dan di Matang yang ditutup. Maktab ini mengambil sempena nama Sultan Perak yang memerintah dari 1889 hingga 1916, iaitu Almarhum Sultan Idris Marshid Al-‘Adzan Shah. Maktab Perguruan Sultan Idris dibuka dengan rasminya oleh Ketua Setiausaha Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir George Maxwell pada 29 November 1922. Pengetuanya yang pertama ialah O.T. Dussek, seorang yang telah banyak mencurahkan jasa baktinya kepada maktab tersebut. Pada hari ini 31.7.1983 ke bawah D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-marhum Sultan Abu Bakar Ri’Ayatuddin Al-Mu’adzam Shah dan Ke Bawah D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Hajah Afzan bte Tengku Muhammad telah berkenan berangkat mencemar Duli ke upacara majlis perasmian perayaan Jubli Intan, ulangtahun yang ke 60 Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Turut serta di majlis perayaan tersebut ialah Menteri Pelajaran Malaysia Dato’ Dr. Sulaiman bin Haji. Daud. Perayaan Jubli Intan genap 60 tahun MPSI diwujudkan bukanlah sahaja bertujuan untuk mengenang kembali perjuangan bekas-bekas penuntut dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan pendidikan dan semangat nasionalisme, malah cuba memupuk semangat kekitaan di antara pelajar dan untuk merumuskan berbagai perkara di antaranya:-
Bersempena dengan perayaan ini, Konvensyen Pendidikan (KONPEN) Ke 8 juga diadakan. KONPEN adalah anjuran dan kerjasama dari Persatuan Bekas Penuntut-penuntut Suluh Budiman dan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak. Di samping itu Kebawah D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melakukan upacara perasmian Tugu Perayaan Jubli Intan yang bernilai kira-kira RM 16 ribu. Sebagai mengiktirafkan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh MPSI, maka pada 21 Februari 1987 ianya telah dinaikkan taraf sebagai Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) yang mana mengendalikan kursus Peringkat Sijil Khas dan Dipoma Keguruan. Keunggulan IPSI dalam memainkan peranan dan kepentingannya telah mendorong kerajaan untuk menaikkan tarafnya ke peringkat yang lebih tinggi sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Mei 1997. |
No comments:
Post a Comment