TUN DR. ISMAIL B. DATUK ABDUL RAHMAN MENINGGAL DUNIA TARIKH PERISTIWA : 02.08.1973 |
Pada hari ini 2.8.1973, Tun Dr. Ismail b. Datuk Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri telah meninggal dunia, akibat sakit jantung. Kematian Allahyarham telah diumumkan ke seluruh negara oleh Ketua Setiausaha Negara. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada negara. Allahyarham Tun Dr. Ismail telah dilahirkan di Johor Bahru pada 4 November 1915. Allahyarham telah mendapat pendidikan awal di English College (Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru dan melanjutkan pelajarannya di Maktab Perubatan King Edward ke V11, Singapura. Pada tahun 1939 Allahyarham menyambung pengajian ke Universiti Melbourne, Australia dan berjaya menjadi penuntut Melayu pertama lulus dari sebuah universiti di Australia pada tahun 1945. Penglibatan Allahyarham dalam politik tanahair bermula dengan gagasan penubuhan Malayan Union oleh British. Allahyarham Tun Dr. Ismail bersama-sama dengan nasionalis-nasionalis lain telah menentang cadangan tersebut dan menubuh sebuah kesatuan iaitu Kesatuan Siswazah-siswazah Melayu. Dari segi pengalaman politik Allahyarham mempunyai pengalaman yang luas, bermula sebagai anggota tidak rasmi dalam Majlis Undangan Negeri Johor, kemudian menjawat jawatan Ahli Tanah, Lombong dan Perhubungan dan seterusnya sebagai Menteri Sumber-Sumber Alam, Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Keadilan. Pada tahun 1956 Allahyarham bersama dengan YTM Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak telah pergi ke London untuk membincangkan perlembagaan berkaitan dengan kemerdekaan Malaya. Setelah Malaya merdeka pada tahun 1957, Allahyarham telah dilantik menjadi Duta Malaysia yang pertama ke Amerika Syarikat dan Ketua Perwakilan Tetap di Bangsa-bangsa Bersatu. Di samping menjawat jawatan Menteri, Allahyarham juga memegang jawatan-jawatan sebagai Wakil Persekutuan dalam Majlis Keselamatan Negara, Pengerusi Lembaga Keselamatan Malaysia, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sempadan Malaysia-Thai dan Naib Pengerusi Majlis Keselamatan Negara. Oleh kerana semangat nasionalisnya kuat, pada tahun 1953, Allahyarham telah meletakkan jawatannya sebagai Ahli Majlis Eksekutif Kerajaan Pusat kerana dasar yang dibuat oleh Sir Gerald Templer bertentangan dengan kepentingan UMNO. Pada tahun 1967, Allahyarham terpaksa berehat dari kabinet atas sebab-sebab kesihatan, walau bagaimanapun beliau tetap bertugas sebagai Ahli Parlimen. Oleh kerana kepentingannya dan tanggungjawab terhadap negara sangat besar, maka Allahyarham telah kembali ke pangkuan negara sebagai Ahli Majlis Gerakan Negara ekoran tragedi 13 Mei 1969. Allahyarham Tun Dr. Ismail telah dikurniakan beberapa pingat sebagai menghargai jasa dan sumbangannya terhadap negara. Antaranya Pingat Darjah Panglima Mangku Mahkota, 1959 dan Pingat Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran 'Tun' pada tahun 1968. Pada tahun 1970, Allahyarham telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sehinggalah Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir. Sebagai menghargai jasa bakti Allahyarham yang besar terhadap negara, Allahyarham telah disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur dengan penuh penghormatan negara. |
No comments:
Post a Comment