TUNKU ABD.RAHMAN DILANTIK PRESIDEN UMNO
TARIKH PERISTIWA : 26.08.1951 |
Pada hari ini 26.8.1951,UMNO telah melantik Yang Teramat Mulia Tunku Abd. Rahman sebagai Presiden Parti Umno yang ke 2 di Persidangan Agung ke 6 yang diadakan di Hotel Majestic Kuala Lumpur. Polisi Dato' Onn mengenai undang-undang kerakyatan dan membuka keahlian UMNO kepada kaum asing telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli UMNO yang telah menimbulkan penentangan terhadapnya. Dato'Onn yang tetap dengan pendiriannya telah dengan rela hati meletakkan jawatan sebagai Presiden parti yang telah dipegangnya selama kira-kira 5 tahun. Keadaan cemas telah timbul di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO untuk mencari ketua parti yang baru. Dalam suasana pergolakkan parti itu, Tunku Abdul Rahman Putra telah menawarkan dirinya untuk menjadi Yang DiPertua UMNO sambil menegaskan bahawa beliau sanggup meletakkan jawatannya sebagai Pendakwa Raya. Di perlantikan Presiden baru parti telah dibuat, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman telah ditentang oleh 2 orang tokoh lama yang terkenal di kalangan ahli-ahli UMNO iaitu En. C.M. Yusof dan Tuan Haji Ahmad Fuad. Akhirnya Tunku Abdul Rahman telah dipilih dengan mendapat 57 undi dari seramai 79 perwakilan UMNO yang hadir di persidangan itu. Di dalam ucapan yang pertama sebagai presiden parti Tunku telah berikrar akan bekerja untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu untuk orang-orang Melayu. Beliau menegaskan Tanah Melayu telah diambil oleh Inggeris dari tangan orang Melayu maka hendaklah diserahkan kembali ke tangan orang Melayu. Dalam menjalankan tugas di peringkat awal Tunku menghadapi banyak masalah terutama ramai ahli UMNO yang keluar parti mengikut Dato' Onn yang menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya atau IMP, di antaranya termasuklah Setiausaha Agung UMNO sendiri. Kemudianya menjalankan tindakan yang tegas dengan memecat ahli UMNO yang menjadi ahli parti IMP. Hasil tindakan Tunku ini, UMNO terus maju dan bertambah kuat. Perjuangan UMNO di atas Slogan Hidup Melayu telah bertukar kepada Merdeka. Perubahan ini memperlihatkan UMNO memasuki satu era baru. Di atas inisiatif UMNO Parti Perikatan telah dibentuk yang mengandungi UMNO, MCA, MIC. Pada mulanya Parti Perikatan ini telah berjaya dalam Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur, kejayaan ini membuka jalan bagi matlamat kemerdekaan Tanah Melayu. Maka tidak hairanlah Y.T.M. Tunku Abd. Rahman Putra telah diberi gelaran sebagai bapa kemerdekaan. |
No comments:
Post a Comment