Pages

Friday, August 12, 2011

Laman Sosial Facebook dan Twitter Membantu Mangsa Kebuluran Di Afrika

[DARI MEJA IBM] :
Assalamua'laikum w.b.t salam Ramadan Salam Ukhwah dan salam sejahtera kepada semua

Alhamdulillah, belum lagi kita dengar rakyat di negara ini menjadi mangsa kelaparan. Dan belum pernah juga kita dengar rakyat di negara ini mati kebuluran, sebaliknya ada yang mati kerana terlebih makan dan berpenyakit kerana tidak mengamalkan pemakanan yang betul. Tapi....di negara lain seperti Afrika, rakyatnya menderita kebuluran kerana kekurangan makanan. Oleh itu bersyukurlah wahai rakyat Malaysia sekelian. Ikhlas dari : IBM

Berbagai-bagai cara telah dibuat bagi membantu krisis kebuluran di Afrika, baca dan buat andaian anda sendiri......

Kebuluran Afrika

NEW YORK – Sebuah kempen media sosial global yang menggunakan satu daripada lagu penyanyi irama reggae terkenal, Bob Marley sebagai tema, dilancarkan semalam oleh sekumpulan selebriti sebagai usaha membendung krisis kebuluran di negara Tanduk Afrika ketika ini.

Lebih 150 selebriti termasuk penyanyi Lady Gaga, kumpulan U2, Justin Bieber, Jay-Z, The Rolling Stones serta Paul McCartney menggunakan laman sosial Facebook dan Twitter mereka untuk menggesa para peminat menghulurkan sumbangan bagi membantu penduduk yang tidak bernasib baik di rantau tersebut.

Kempen yang diberi nama I’m Gonna Be Your Friend berdasarkan bait lagu High Tide or Low Tide itu boleh dilihat di laman web imgonnabeyourfriend.org.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 3.6 juta penduduk di Somalia berdepan dengan krisis kebuluran manakala seramai 12 juta lagi di seluruh negara Tanduk Afrika termasuk Ethiopia dan Kenya juga bermasalah serupa.

Ekoran itu, sumbangan dana diperlukan dengan segera bagi memulihkan semula sektor pertanian.

Dalam pada itu, kempen tersebut dijangka mencatatkan lebih satu bilion penyertaan termasuk sokongan daripada Universal Studio Music, Yahoo, AOL, MSN, YouTube serta pengaruh golongan selebriti.

Setiap sumbangan atau muat turun lagu High Tide or Low Tide yang berharga AS$1.29 (RM3.90) akan disalurkan kepada kempen ‘Selamatkan Kanak-kanak’ di timur Afrika untuk bekalan makanan, air dan ubat-ubatan.

Sementara itu, balu kepada Bob Marley, Rita Marley menyatakan pemilihan lagu tersebut dilakukan sendiri oleh keluarganya berdasarkan bait yang dilihat bersesuaian dengan matlamat kempen.

“Kita mesti bersatu sebagai sahabat bagi menghentikan masalah ini (kebuluran) dan menyelamatkan mereka yang kurang bernasib baik,” katanya. – Reuters


No comments:

Post a Comment