ASSALAMUALAIKUM, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1 MALAYSIA
PERLEMBAGAAN NEGERI SARAWAK DIISYTIHARKAN TARIKH PERISTIWA : 24.09.1941 |
Keturunan Brooke telah memerintah Sarawak dari tahun 1841. Bermula dengan James Brooke yang dikenali dengan `Raja Putih’ yang pertama telah dianugerahkan gelaran tersebut di suatu perhimpunan Kuching, Sarawak oleh Pangeran Muda Hashim wakil Sultan Brunei. Pada hari ini 24 September 1941 setelah genap 100 tahun pemerintah Raja Putih, satu perlembagaan Negeri Sarawak telah diisytiharkan oleh Vyner Brooke. Perlembagaan ini bukan sahaja memperlihatkan tujuan pemerintahan Brooke untuk membawa kemodenan dalam pentadbirannya, tetapi ia juga menjanjikan rakyat bumiputera ke arah berkerajaan sendiri. Hasrat dan cita-cita Brooke itu termetri dalam Sembilan Prinsip Utama. Antara yang menarik dan penting ialah prinsip yang pertama, kelima dan kedelapan. Prinsip yang pertama menyatakan bahawa negeri Sarawak adalah warisan rakyatnya dan `Raja Putih’ hanya merupakan pihak yang diamanahkan untuk mentadbir negeri itu. Prinsip yang kelima memaktubkan bahawa kebebasan menyuarakan sesuatu sama ada dalam ucapan atau penulisan akan diberikan dan setiap orang digalakkan mengikut agama masing-masing. Prinsip kedelapan pula menjelaskan bahawa hasrat berkerajaan sendiri akan sentiasa diingati, rakyat Sarawak akan mentadbirkan negeri itu sendiri dan usaha-usaha akan dipercepatkan untuk mencapai matlamat tersebut dengan memberi tunjuk ajar mengenai tanggungjawab dan hak-hak kewarganegaraan. Di samping itu Perlembagaan ini juga menjelaskan peraturan dan kedudukan dewan perundangan, Council Negeri, Dewan Pelaksanaan, Supreme Council. Walaupun Council Negeri telah wujud sejak tahun 1867 lagi, namun badan perundangan ini tidak mempunyai satu peraturan yang bertulis. Perlembagaan ini juga mencatatkan perkara-perkara mengenai pengganti `Raja Putih’. Sekiranya tidak ada keturunan Brooke, maka hanya rakyat British dan rakyat bumiputera sahaja yang layak dilantik oleh Supreme Council sebagai pengganti `Raja Putih’. Perlembagaan Negeri Sarawak yang diisytiharkan pada hari ini dalam tahun 1941, merupakan dokumen yang amat menarik, tetapi kepentingannya tidak dapat dibuktikan oleh sejarah kerana Perang Dunia Kedua telah menamatkan pemerintahan `Raja Putih’ di Sarawak.
|
SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA DAN SELAMAT BERISTERIHAT DIHUJUNG MINGGU BERSAMA KELUARGA YANG TERSAYANG. IKHLAS DARI SAYA YANG BENAR : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]
No comments:
Post a Comment