NEW DELHI - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei meraih motivasi tambahan menjelang perlawanan akhir Piala Thomas hari ini apabila dinobat sebagai Pemain Lelaki Terbaik Dunia 2013. Ini adalah anugerah ketiga diraih oleh pemenang pingat perak Sukan Olimpik dua kali itu, yang menjadi tonggak penting dalam membawa Malaysia melangkah ke final Piala Thomas buat kali pertama sejak 12 tahun. Kejayaan menggondol tujuh gelaran Siri Super Dunia tahun lalu, selain muncul naib juara dunia membolehkan pemain negara itu mengetepikan cabaran dua pemain China, Lin Dan dan Chen Long, selain pasangan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia serta beregu Korea, Ko Sung Hyun-Lee Yong Dae.
Pemain No. 1 dunia dan juara Olimpik, Li Xuerui pula dinobat sebagai Pemain Wanita Terbaik Dunia pada hari yang sama dia membawa China merangkul kejuaraan Piala Uber buat kali ke-13. Pemain berusia 23 tahun itu mengetepikan saingan juara dunia, Ratchanok Intanon, selain rakan sepasukan, Wang Yihan dan beregu Wang Xiaoli-Yu Yang. Pemain muda Jepun, Akane Yamaguchi dipilih sebagai penerima anugerah Eddy Choong iaitu Pemain Harapan 2013. Yamaguchi, juara remaja dunia 2013 akan meraikan ulang tahun ke-17 pada 6 Jun ini. Turut dicalonkan untuk anugerah Pemain Harapan adalah Aya Ohori (Jepun) dan Busanan Ongbumrungpan (Thailand). - UTUSAN
* Tahniah Datuk! Dah hampir-hampir nak bersara ni, dapat pulak anugerah cermerlag ni. Memang tuah le namanya tu. Dan mungkin tuah Datuk Lee ini akan bersambung pada petang ini apabila Piala Thomas dapat dibawa pulang ke tanah air. 12 tahun menanti..lama dah. Insyallah, Malaysia boleh! Wasallam * ~ IBM
No comments:
Post a Comment