SALAM semua. Ingin IBM kongsi bersama dengan rakan-rakan pembaca yang budiman bagi mengimbau 'musibah' banjir yang melanda di beberapa negeri di negara kita. Rencana ini dikirimkan oleh seorang penulis blog ke laman WhatsApp IBM dan kini IBM abadikan di dalam dairy IBM buat kenang-kenangan kerana setiap apa yang berlaku yang telah ditentukan oleh Allah SWT ada 'hikmah'nya. Sama-sama kita hayati akan tulisan yang ditulis oleh si penulisnya yang mengalaminya sendiri musibah banjir di Kampung Manek Urai :
ADAKAH MUSIBAH BANJIR KALI INI SEBAGAI TSUNAMI KECIL YANG JUGA MENANDAKAN DUNIA KIAN HAMPIR KEPADA KIAMAT?
["Susah untuk diterima akal, namun itu hakikatnya kuasa Allah mengatasi segala-galanya dan tiada apa yang mustahil bagi-Nya. Paras air naik sehingga tenggelamkan rumah dan pokok menjadikannya bagaikan lautan. Umpama padang jarak padang tekukur, hampir semua kediaman penduduk di kawasan terbabit musnah dan ranap, malah yang tinggal hanya tangga. Begitu juga masjid yang terletak di kampung itu, semuanya musnah sekelip mata dilanda arus banjir, tetapi menara masjid tetap utuh berdiri dan itulah yang mampu dilihat penduduk ketika banjir 'menelan' kampung mereka. Itulah gambaran suasana di Kampung Manek Urai Lama, Kuala Krai yang diceritakan mangsa banjir kepada penulis sebaik menjejakkan kaki di kampung itu selepas bah besar surut. Mangsa banjir terpaksa menyelamatkan diri di atas Bukit Kajang di kampung itu kerana di situ satu-satunya tempat paling selamat buat mereka daripada banjir. Enam hari terpaksa berlapar di atas bukit, bergantung hidup dengan bekalan makanan yang sempat dibawa dan juga buah yang ada di atas bukit seperti nam-nam, malah ada segelintir mereka bergaduh dengan senjata tajam berebut makanan.
Tidak terjangkau di fikiran penulis bah yang melanda kali ini paras airnya begitu tinggi, melihat kepada arus sungai di kampung itu yang juga bersambung dengan Sungai Kelantan, sememangnya sukar untuk pasukan penyelamat membantu mangsa banjir. Sebaik banjir mulai surut, Kampung Manek Urai Lama bagaikan baru lepas dilanda tsunami, cuma yang bezanya tiada mayat bergelimpangan, melainkan kerosakan harta benda yang begitu teruk sekali. "Encik ada makanan tak untuk kami?" itulah antara pertanyaan daripada mangsa banjir apabila memasuki kampung terbabit. Bayangkan anak kecil yang sudah beberapa hari berlapar dan kesejukan. Namun selepas banjir surut bantuan mula masuk bertali arus. Pada waktu malam, penulis masuk lagi ke Kampung Manek Urai Lama, bukan saja bergelap, malah sunyi bagaikan tidak berpenghuni. Penulis menelusuri jalan gelap di kampung itu, mata meliar ke celah runtuhan untuk melihat sisa kediaman dan cahaya lilin sedikit menerangi suasana malam itu apabila ada sembilan beranak tinggal di bawah runtuhan kediaman.
Rosni Yajid, 53, bersama isteri dan tujuh anak lebih gembira tinggal dalam sisa runtuhan itu dengan ditemani cahaya lilin berbanding tinggal di pusat pemindahan. Baginya, bantuan yang dibawa masuk adalah rezeki untuk mereka selepas beberapa hari tidak menjamah nasi. Kesempatan di Manek Urai, penulis menjengah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai Lama. Empat tingkat hampir tenggelam keseluruhan dan menjadi viral di laman sosial (gambar atas) apabila lebih 400 mangsa terperangkap di aras empat bangunan sekolah itu ketika paras air banjir memuncak. Sekolah terbabit berada di kawasan lembah umpama kawah, jadi tidak hairanlah jika banjir besar yang melanda kali ini hampir menenggelamkan bangunan sekolah itu. Selepas Kampung Manek Urai Lama, penulis meneruskan perjalanan ke Gua Musang, antara lokasi yang turut terjejas akibat bencana itu. Gua Musang bergelap. Penulis dan beberapa rakan menginap di hotel tanpa bekalan elektrik serta talian komunikasi yang bermasalah menyebabkan kesukaran untuk berhubung. Di Bandar Lama Gua Musang, sekali lagi mata penulis dihidang dengan pemandangan yang sememangnya meruntun jiwa.
Kemusnahan kediaman cukup teruk khususnya bagi mereka tinggal di pesisir Sungai Galas. Bandar Lama Gua Musang di dipenuhi selut, bau bangkai dipercayai ternakan dan lumpur mula menerjah hidung sebaik penulis memasuki kawasan itu. Bertemu Zakaria Awang, 63, yang ditempatkan di salah satu pusat pemindahan di Gua Musang, air mata tidak lekang membasahi pipinya kerana mengenangkan nasibnya yang kehilangan tempat berteduh, apatah lagi dia juga mempunyai penyakit lelah. Rumahnya di Kampung Jalan Masjid Bandar Lama Gua Musang, dihanyutkan arus deras dan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berjanji untuk membina kediaman baharu untuk mangsa banjir sedikit melegakan Zakaria. Susah untuk digambarkan dengan kata-kata, sepanjang jalan di Gua Musang dan Kuala Krai 'dihiasi' dengan runtuhan rumah dan kemusnahan alam akibat bencana itu."]. Kata penulis.Terima kasih kepada penulis yang sudi berkongsi pengalaman dengan kami.
KOMEN IBM :
Sedih, memang sedih kan. Oleh itu marilah sama-sama kita berdoa agar banjir di Kampung Manek Urai dan di tempat-tempat yang lain cepat reda, dan kepada penduduk-penduduk di sana, tabahah bagi menghadapi dugaan dari Allah SWT. itu semuanya ada rahmatnya. Dan, insyallah, pihak yang berwajib (kerajaan) sedang berusaha bertungkus-lumus untuk menjalurkan segala bantuan yang perlu. Kerajaan memang prihatin. Wassalam ~ IBM
No comments:
Post a Comment