Walaupun ianya sudah berlalu, namun sejarah tetap menjadi sejarah..
TENTERA JEPUN MENGUASAI SELURUH KELANTAN UNTUK TERUS MARA KE SELATAN |
Tarikh Peristiwa Pada 22.12.1941 Peperangan dunia ke 2 di Malaya bermula dengan pendaratan Jepun di Pantai Dasal, Pengkalan Chepa, Kelantan pada 8 Disember 1941. Jepun mengambil masa selama dua minggu untuk menguasai negeri Kelantan dan seterusnya mara ke selatan. Pada hari ini 22 Disember 1941, kumpulan terakhir tentera British di bawah pimpinan Lt. Kol. McKeller telah meninggalkan Kuala Krai pertahanan terakhir British di Negeri Kelantan. Mereka menuju ke Kuala Lipis untuk mengundurkan diri. Tentera kemaraan Jepun pula terus mara dan pada 20 Disember telah pun menguasai Pekan Kuala Krai. Bermula dari negeri Kelantan pada 8 Disember itu tentera British telah berusaha sedaya upaya mempertahankan Kota Bharu. Ini kerana jika sekiranya Kota Bharu tewas di pertahanan awal ini akan memudahkan tentera Jepun untuk terus mara ke seluruh Tanah Melayu. Walaupun begitu ketibaan tentera Jepun dengan persediaan dan perancangan yang rapi telah berjaya menembusi kubu pertahanan British yang begitu rapuh dan tidak disangka-sangkakan ketika itu. Menjelang 22 Disember 1941 Jepun sudahpun menguasai seluruh Kelantan. Tentera British telah bertindak memusnahkan jalan keretapi, jalan raya dan jambatan-jambatan yang ditinggalkan bagi menyekat kemaraan askar-askar jepun. Namun begitu tentera Jepun lebih bersedia dengan apa juga kemungkinan dan telah berjaya melepasi rintangan tersebut. Semua pangkalan tentera darat dan udara British di Kelantan musnah dan ditawan Jepun. Pihak Jepun telah berjaya menempatkan dirinya dikedudukan yang kukuh di bahagian utara dan berpeluang merangka strategi ke selatan dengan lebih baik lagi. Sebanyak 27 meriam, 73 pucuk mesin gan ringan dan berat, 7 pesawat terbang dan beberapa buah kenderaan termasuk keretapi, kereta dan sebagainya telah dapat ditawan oleh Jepun. Selain dari itu 2 buah kapal pengangkut Jepun juga telah musnah iaitu Awagisan Maru dan Ayatosan Maru. Tentera Jepun terus mara ke selatan dan pada 24 Disember 1941, mereka sudah mula memasuki Kuala Lumpur. Kemudian terus mara hinggalah ke Singapura. Pada 15 Februari 1942, tentera British telah menyerah kalah kepada Jepun, dan dari tarikh tersebut bermula jugalah pemerintahan Jepun di Malaya selama lebih tiga tahun.
|
No comments:
Post a Comment