Wednesday, December 22, 2010

Apa Yang Berlaku Pada Hari Ini ?

22 DISEMBER

Walaupun ianya sudah berlalu, namun sejarah tetap menjadi sejarah..


TENTERA JEPUN MENGUASAI SELURUH KELANTAN UNTUK TERUS MARA KE SELATAN
Tarikh Peristiwa Pada 22.12.1941

Peperangan dunia ke 2 di Malaya bermula dengan pendaratan Jepun di Pantai Dasal, Pengkalan Chepa, Kelantan pada 8 Disember 1941. Jepun mengambil masa selama dua minggu untuk menguasai negeri Kelantan dan seterusnya mara ke selatan. Pada hari ini 22 Disember 1941, kumpulan terakhir tentera British di bawah pimpinan Lt. Kol. McKeller telah meninggalkan Kuala Krai pertahanan terakhir British di Negeri Kelantan. Mereka menuju ke Kuala Lipis untuk mengundurkan diri. Tentera kemaraan Jepun pula terus mara dan pada 20 Disember telah pun menguasai Pekan Kuala Krai. Bermula dari negeri Kelantan pada 8 Disember itu tentera British telah berusaha sedaya upaya mempertahankan Kota Bharu. Ini kerana jika sekiranya Kota Bharu tewas di pertahanan awal ini akan memudahkan tentera Jepun untuk terus mara ke seluruh Tanah Melayu. Walaupun begitu ketibaan tentera Jepun dengan persediaan dan perancangan yang rapi telah berjaya menembusi kubu pertahanan British yang begitu rapuh dan tidak disangka-sangkakan ketika itu. Menjelang 22 Disember 1941 Jepun sudahpun menguasai seluruh Kelantan. Tentera British telah bertindak memusnahkan jalan keretapi, jalan raya dan jambatan-jambatan yang ditinggalkan bagi menyekat kemaraan askar-askar jepun. Namun begitu tentera Jepun lebih bersedia dengan apa juga kemungkinan dan telah berjaya melepasi rintangan tersebut. Semua pangkalan tentera darat dan udara British di Kelantan musnah dan ditawan Jepun. Pihak Jepun telah berjaya menempatkan dirinya dikedudukan yang kukuh di bahagian utara dan berpeluang merangka strategi ke selatan dengan lebih baik lagi. Sebanyak 27 meriam, 73 pucuk mesin gan ringan dan berat, 7 pesawat terbang dan beberapa buah kenderaan termasuk keretapi, kereta dan sebagainya telah dapat ditawan oleh Jepun. Selain dari itu 2 buah kapal pengangkut Jepun juga telah musnah iaitu Awagisan Maru dan Ayatosan Maru. Tentera Jepun terus mara ke selatan dan pada 24 Disember 1941, mereka sudah mula memasuki Kuala Lumpur. Kemudian terus mara hinggalah ke Singapura. Pada 15 Februari 1942, tentera British telah menyerah kalah kepada Jepun, dan dari tarikh tersebut bermula jugalah pemerintahan Jepun di Malaya selama lebih tiga tahun.

NAMA IBU NEGERI SABAH DITUKAR DARIPADA JESSELTON KEPADA KOTA KINABALU
Tarikh Peristiwa Pada 22.12.1967
Pada hari ini dalam tahun 1967, nama ibu negeri Sabah telah ditukar daripada Jesselton kepada Kota Kinabalu. Kota Kinabalu letaknya di Pantai Singgah Mata di Teluk Sepanggar. Nama tersebut diilhamkan dari mercu tanda negeri tersebut, iaitu Gunung Kinabalu. Gunung Kinabalu merupakan gunung yang tertinggi di Malaysia dan di Asia Tenggara. Sejarah awal ibu negeri Sabah pada awalnya terletak di Kudat iaitu dari tahun 1881 hingga 1883, namun pada 1884 ia telah dipindahkan ke Sandakan. Sandakan telah menjadi bandar utama sehingga tahun 1947 dan kemudiaannya barulah berpindah ke Pantai Singgah Mata. Bagaimanapun ketika itu sebuah pekan telah wujud di situ apabila Pulau Gaya dimusnahkan oleh Mat Salleh pada 1897. Seorang pegawai Inggeris bernama Charles Jessel telah memilih satu kawasan di Pantai Singgah Mata, sebagai tapak pekan baru itu pada tahun 1899. Oleh kerana di situ terdapat banyak pokok api-api lalu pekan tersebut dipanggil Api-api. Namun, beberapa tahun kemudian, Api-api ditukar kepada Jessel Town yang disebut sebagai Jesselton sahaja. Nama Jesselton akhirnya diubah kepada Kota Kinabalu pada hari ini dalam tahun 1967 dan ianya kekal menjadi ibu negeri Sabah sehingga sekarang.


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...