KABUL - Ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden hidup dengan selesa di sebuah rumah di barat laut Pakistan, dekat dengan timbalannya, Ayman al-Zawahiri, lapor stesen televisyen CNN yang memetik kenyataan seorang pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Menurut CNN, militan kelahiran Arab Saudi itu yang dikehendaki berhubung serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS), dilindungi oleh masyarakat setempat dan beberapa anggota perkhidmatan perisikan Pakistan.
Dalam serangan pengganas di AS itu, kira-kira 3,000 orang terbunuh.
Ganjaran bagi penangkapan Osama dan Ayman ialah AS$25 juta (RM77.38 juta).
Laporan itu menyatakan, Ayman yang berasal dari Mesir tinggal berhampiran dengan Osama.
"Tiada anggota Al-Qaeda yang tinggal di dalam gua," kata pegawai NATO itu.
"Pegawai itu turut mengesahkan penilaian AS bahawa ketua Taliban, Mullah Omar telah berpindah antara bandar Quetta dan Karachi dalam tempoh beberapa bulan lalu," lapor CNN di laman webnya.
Rantau utara Waziristan di Pakistan yang bergunung-ganang dan berhampiran sempadan Afghanistan dipercayai menjadi pusat persembunyian militan Afghanistan, Pakistan serta Arab, tidak terkecuali Osama.
Osama sebelum ini dikatakan telah melarikan diri dari rantau Tora Bora, Afghanistan yang menjadi kubu kuat Taliban semasa pencerobohan tentera asing yang diketuai oleh AS pada tahun 2001.
Pada Ogos lalu, Komander AS di Afghanistan, Jeneral David Petraeus memberitahu, Osama bersembunyi di kawasan pedalaman Afghanistan dan Pakistan dan usaha menangkapnya merupakan satu tugas sukar.
Kali terakhir Osama dikesan ialah menerusi dua rakaman suaranya yang dikeluarkan pada awal Oktober lalu apabila dia menggesa bantuan terhadap mangsa banjir Pakistan diberikan dan meminta tindakan sesuai dilakukan bagi menangani perubahan cuaca global.
Sementara itu, pihak berkuasa Pakistan menafikan ia memberi perlindungan kepada Osama dan pembantunya. "Khabar angin seperti ini sentiasa timbul. Reaksi kami terhadapnya jelas, Osama tidak ada di sini. Mereka selalu menyatakan Osama berada di Pakistan tetapi tidak memberitahu lokasi dengan tepat. Kami tidak percaya cerita-cerita sebegini," tegas Timbalan Menteri Penerangan Pakistan, Samsam Bokhari.
# IBM : Ada juga yg bertanya, apa ilmu Osama pakai. Sampai sekarang Amerika yg menganggap dia sebagai ketua Penganas yg amat di kehendaki, masih belum di tangkap.?..ada juga cerita kelakar yg saya dengar, Osama ikut Ayah Pin menyorok kat langit...hehehe...
No comments:
Post a Comment