Pages

Tuesday, December 14, 2010

Sekolah Pondok Moden Negeri Sembilan


BICARA AGAMA :

SEWAKTU di sekolah rendah, Mohd. Zulfiqar Abas sama seperti pelajar seusianya sering cuai dalam menunaikan kewajipan solat lima waktu yang difardukan ke atas umat Islam.

Meskipun telah diberitahu dan dididik oleh ibu bapa mengenai kepentingan mengerjakan solat, perkara itu dianggap seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Namun, semua tabiat buruk itu berjaya diubah sejak Zulfiqar melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah menengah aliran agama di Maahad At-Taufiqi, Rembau pada 2005.

Berlandaskan kaedah pembelajaran secara tradisional yang diwarisi sebagai pusaka salafussoleh yang diterapkan oleh pihak sekolah, selepas lima tahun Zulfiqar berjaya menjadi salah seorang pelajar cemerlang di sana.

“Corak pembelajaran di sini mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Guru-guru sering menanamkan sifat mahabbah atau berkasih sayang sesama insan. Malah, mereka juga memberi nasihat secara berhikmah.

“Ini membuatkan saya dan rakan-rakan pelajar sentiasa menanam keazaman untuk menjadi pelajar yang terbaik dalam kalangan terbaik, bukan sahaja dalam soal akademik, tetapi juga akhlak dan sahsiah diri.

“Alhamdulillah, sejak itu banyak perubahan ke arah kebaikan yang mampu saya lakukan. Semuanya berkat keikhlasan guru-guru berkongsi nasihat dalam untaian kata penuh makna,” ujar anak kelahiran Sungai Buloh, Selangor itu yang menuntut di tingkatan lima.

SESI menghafaz di hadapan guru yang disebut sebagai mempelajari ilmu talaqqi.


Kini, maahad tersebut yang telah ditukar nama kepada Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) pada awal 2008 semakin dikenali dan mempunyai seramai 239 orang pelajar.

Dikelilingi hutan menghijau, persekitaran STIAS yang terletak di kawasan perkampungan Bukit Sembilan, Kota, Negeri Sembilan cukup tenang.

Blok-blok bangunan dengan senibina moden pula tersergam indah bagai menyambut kedatangan pengunjung ke destinasi gedung ilmu yang bakal melahirkan insan berguna untuk generasi akan datang itu.

Dibangunkan sepenuhnya oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS), STIAS merupakan sekolah swasta yang berkonsepkan pengajian pondok moden yang dilengkapi pelbagai infrastruktur.

Ini termasuklah bangunan asrama untuk pelajar lelaki dan wanita, kemudahan bilik darjah, bilik tayangan, bilik komputer serta madrasah yang menjadi lokasi untuk pelajar berkumpul atau mengadakan aktiviti berbentuk kerohanian.

Menurut Pengetua STIAS, Nik Norzilawati Raja Ahmad, terdapat tiga aliran utama yang ditawarkan di sekolah tersebut iaitu Tahfiz, pengajian akademik mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan pengajian agama (al-Mawad al-Diniyyah).

“Secara umum STIAS menjalankan sistem pengajian moden yang bersesuaian dengan arus perdana, tetapi pada masa yang sama kami tidak meminggirkan cara pembelajaran ulama silam yang menuntut ilmu secara terus daripada guru tanpa sebarang perantaraan.

ILMU akademik seperti subjek Sains turut dititikberatkan di Sekolah Tinggi Islam As-Sofa.


“Tambahan pula kami yakin bahawa kaedah pembelajaran tersebut mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan dalam membentuk peribadi dan akhlak penuntut ilmu,” jelas beliau.

Perkara itu diakui oleh Zaidatul Hanim Zainal Abidin, 15, pelajar tingkatan tiga sekolah tersebut. Konsep pengajian di STIAS amat berbeza dengan sekolah-sekolah biasa. Bagi Zaidatul, tiada masa untuk bermain atau bersuka ria, sebaliknya dia dan rakan-rakan sentiasa berusaha untuk mendalami ilmu masing-masing.

Di STIAS, semua pelajar wajib mengikuti rutin harian yang telah ditetapkan dan disusun pihak sekolah. Antara yang utama ialah menunaikan solat lima waktu secara berjemaah tanpa sebarang keuzuran kecuali bagi pelajar perempuan yang datang haid.

Semangat mencintai Rasulullah

“Budaya solat berjemaah yang kami amalkan secara tidak langsung mampu membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kerohanian.

“Malah, semua pelajar sentiasa melakukan amalan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis serta menunaikan solat sunat Dhuha secara berjemaah setiap pagi. Walaupun pada awalnya ada yang menganggap rutin tersebut sukar untuk dilaksanakan, tetapi akhirnya kami semua sudah terbiasa dengan amalan mulia itu,” tutur Zaidatul yang bercita-cita menjadi doktor dan pendakwah suatu hari nanti.

Bagi Muhd. Muaz Malizan, 15, yang baru memulakan sesi persekolahan di STIAS tahun lalu, banyak pengalaman menarik telah dilalui termasuk berjumpa dengan ramai ulama dari seluruh dunia yang hadir dalam pelbagai majlis keagamaan yang dianjurkan pihak YSNS.

Antaranya ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) terkemuka Mekah, Sayyid Ahmad ibn Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki, Sheikh Muhammad Ibrahim Al-Kattani (ulama hadis terkenal Mesir) al-Allamah al-Muhaddith Dr. Mahmud Said Mamduh al-Husaini dan ramai lagi.

“Seronok apabila dapat bertentang mata dan bersalaman dengan ulama terkenal dunia kerana bukan mudah untuk bertemu mereka. Justeru, saya bersyukur kerana ia boleh dianggap sebagai nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya yang terpilih,” ungkap Muaz sambil tersenyum.

Di samping itu, Muaz juga memberitahu bahawa di STIAS, mereka belajar bukan semata-mata untuk mendapatkan sekeping sijil yang menjamin masa depan, tetapi tujuan utama mereka adalah menuntut ilmu yang boleh digunakan untuk berdakwah pada masa akan datang.

“Insya-Allah, dengan sistem pembelajaran sebegini, saya percaya ia mampu membentuk sahsiah pelajar yang bukan sahaja cemerlang di dunia tetapi juga di akhirat,” lancar ucapan yang keluar dari bibir remaja ini sekali gus menunjukkan keyakinan yang bertapak di hatinya mengenai keistimewaan STIAS.

Mendampingi guru

Dalam pada itu, Guru Penolong Kanan I (Bahagian Akademik), Mujahid Abdul Wahab berkata, para pelajar di STIAS dibekalkan dengan bekalan ilmu duniawi dan ukhrawi yang secukupnya serta disemai dalam diri mereka perasaan mahabbah iaitu kasih sayang.

“Ini merupakan cara pendidikan warisan salafussoleh sebagai kaedah pentarbiahan yang berkesan dalam melahirkan generasi unggul.

SETIAP hari pelajar-pelajar akan membaca al-Quran dan menghafalnya.


“Di sini, semua pelajar diasuh dan diterapkan dalam jiwa mereka perasaan kasih kepada Allah, mencintai Rasulullah S.A.W, para sahabat dan ahli keluarga Baginda serta para ulama. Kecintaan yang disemai menyebabkan mereka berlumba-lumba untuk mencontohi insan yang dikasihi tersebut dan menjadikan mereka contoh teladan sepanjang zaman,” tutur Mujahid.

Untuk menyuntik semangat semangat mencintai Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, STIAS sentiasa berterusan mengadakan majlis sambutan Maulid Nabi dan tidak terbatas pada bulan Rabiulawal sahaja.

“Bacaan qasidah dan sirah Nabi akan diulang dari semasa ke semasa kerana memperingati Rasulullah S.A.W dan aktiviti meraikan rahmat yang datang bersama kelahiran Baginda perlu dilakukan sepanjang tahun.

“Dengan cara ini, semua pelajar tidak akan lupa untuk mengenang dan mencontohi Baginda dalam segenap aspek kehidupan. Apatah lagi, bacaan tersebut disertai dengan makna untuk memberi kefahaman yang lebih kepada mereka.”

Tambahnya, para pelajar juga diasuh agar mendampingi guru kerana ia merupakan rukun utama dalam penghasilan ilmu.

“Di sisi Islam, guru dan para ulama diumpamakan sebagai ‘bapa-bapa’ dalam agama. Justeru, setiap pelajar wajib menghormati mereka agar ilmu yang dituntut diredai Allah,” tegas beliau lagi. Untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dunia dan akhirat, pihak pentadbiran STIAS amat meniktikberatkan aspek pengurusan masa untuk setiap pelajar.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Mohd. Haneef Zin berkata, berdasarkan jadual harian yang ditetapkan, waktu para pelajar As-Sofa benar-benar terisi dengan perkara yang bermanfaat dan berfaedah.

“Di sini, pelajar akan diasuh untuk menunaikan solat berjemaah, pelbagai solat sunat dan mengamalkan bacaan wirid harian pagi dan petang selepas solat.

KAWASAN persekolahan As-Sofa dikelilingi hutan menghijau sekali gus menimbulkan kedamaian kepada pelajar.



No comments:

Post a Comment