Nasi kandar berasal dari Pulau Pinang kerana pelabuhannya. Dahulu kala pelanggan nasi kandar ialah para pekerja di pelabuhan Pulau Pinang. Ia adalah masakan untuk memenuhi keperluan masyarakat marhaen. Nasi banyak, lauk semata iaitu ikan kari atau ikan goreng dan bendi.
Ini adalah lumrah kerana orang yang membanting tulang empat kerat seperti pekerja gudang pelabuhan memerlukan tenaga yang banyak untuk memunggah barang. Begitu juga dengan penarik beca.
Penjual nasi kandar akan mengandar periuk nasi dan lauk pauk ke tepi pelabuhan di awal pagi untuk menjual nasi kandar. Sebab itulah orang Pulau Pinang makan nasi kandar pada awal pagi bukan tengah hari atau malam - sama seperti orang Batu Pahat makan sate di awal pagi.
Ia adalah amalan dan tradisi turun temurun sejak nenek moyang penulis berhijrah dan bermastautin di Pulau Pinang dari zaman sebelum perang dan merdeka lagi. Sehingga ke hari ini, masyarakat tulen Pulau Pinang seperti penulis dan bapa penulis hanya makan nasi kandar pada awal pagi iaitu seawal jam 7.30 pagi.
Ketika penulis masih kecil, datuk penulis yang bekerja berhampiran dengan pelabuhan Pulau Pinang akan membawa penulis yang ketika itu baru berusia tujuh atau lapan tahun ke gerai nasi kandar untuk makan nasi.
Hari ini, amalan tersebut masih kuat dalam keluarga penulis sekiranya kami anak beranak pulang ke Pulau Pinang. Jika masa kecil bersama datuk tapi bila dah besar abah yang akan mempelawa kami makan nasi kandar. Selain nasi kandar beratur yang popular kerana keunikannya itu, satu lagi nasi kandar yang masih mengekalkan aroma dan keaslian nasi kandar ialah nasi kandar Flat Kampung Melayu Air Itam.
Nasi kandar di flat ini hanya beroperasi di sebelah pagi sahaja, tidak tengah hari, petang atau malam kerana ia masih mengekalkan ciri-ciri sebenar nasi kandar yang hanya dihidangkan pada waktu pagi sejak turun temurun lagi.
Bagaimanapun hari ini nasi kandar bukan lagi makanan yang khusus untuk masyarakat pekerja/marhaen. Ia telah menjadi makanan untuk semua lapisan masyarakat malah dalam keadaan tertentu ia adalah makanan untuk golongan berada kerana lauk pauk nasi kandar telah berubah wajah. Ada ayam, ada udang besar, telur ikan dan sotong - yang kesemuanya jika dijadikan hidangan boleh mencecah harga sehingga RM15 satu kepala.
Seperkara lagi yang penulis ingin tekankan ialah jangan salah faham dengan mencampur aduk atau menyangka kari kepala ikan itu sebagai hidangan nasi kandar. Nasi kandar asal tidak memiliki ciri-ciri kepala ikan. Yang menjual kari kepala ikan itu adalah nasi mamak bukan nasi kandar.
Malangnya orang Kuala Lumpur selalu ingat kari kepala ikan itu adalah sebahagian daripada hidangan nasi kandar. Di Pulau Pinang, nasi kandar original tidak sepatutnya ada kepala ikan merah yang besar macam gergasi tu. Kalau kepala ikan bawal tak apa.
Jadi jika ke Pulau Pinang dan hendak makan nasi kandar original, ingat pesanan penulis. Jangan main balun saja. Ciri-ciri utama nasi kandar adalah seperti berikut;
(i) nasi sekadar cukup-cukup pinggan sahaja tidak banyak dan tidak sedikit;
(ii) kuah mesti dicampur atau diadun di antara kari ikan, daging, udang dan sotong;
(iii) sebaik-baik adunan lauk pauk nasi kandar ialah ikan kari atau goreng (bawal) bersama dua keping daging kari, telur rebus atau;
(iv) pilihan antara sotong atau telur rebus bersama daging kari atau ikan bawal kari dan dua batang bendi rebus.
Dan rahsia memakan nasi kandar yang paling penting ialah makan jangan tambah dan makan dengan tangan bukan dengan sudu dan garpu.
Nasihat jangan tambah kerana jika ditambah kemungkinan untuk berasa mual adalah besar dan seandainya itu terjadi maka akan hilanglah nikmat memakan nasi kandar dan nasihat jangan guna garpu serta sudu supaya aroma unik campuran kari nasi kandar akan terus lekat berkekalan di tapak tangan sehingga ke senja. Alahai nikmatnya....
Ingat mamak, ingat 'Nasi Kandar'...memang ummph. - IBM
Sumber : mstar.com.my