Pages

Wednesday, February 2, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

02 FEBRUARI

Salam 2 All.
Hari Ini catatan 'Hari Ini Dalam Sejarah' lambat sedikit di paparkan kepada para pembaca yang budiman. Apapun mari kita baca.....

PERJANJIAN KERETA NASIONAL KEDUA DIMETERAI
PERJANJIAN KERETA NASIONAL KEDUA DIMETERAI
Tarikh Peristiwa : 02-02-1993

Pada hari ini dalam tahun 1993, satu perjanjian usahasama untuk kereta nasional kedua telah dimeterai oleh 6 buah syarikat, iaitu UMW Corporation Sdn. Bhd., Med-Bumikar Mara Sdn. Bhd., Daihatsu Motor Co. Ltd. Jepun, Mitsui & Co. Ltd Jepun dan Daihatsu Malaysia Sdn. Bhd. Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anuar Ibrahim yang turut serta menyaksikan upacara menandatangani perjanjian usahasama tersebut berharap harga yang akan ditawarkan adalah rendah dan mampu untuk dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Katanya lagi, seperti yang telah diperjelaskan oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bahawa berdasarkan pengalaman Proton Saga, harga kereta nasional kedua adalah rendah. Kereta Nasional kedua yang dijadual memulakan pengeluaran komersialnya pada bulan Julai 1994, dijangka akan dijual di pasaran tempatan pada harga maksimum RM24,000 seunit. Buat permulaan, kereta nasional kedua akan dikeluarkan dengan kuasa 660 c.c. yang rekabentuknya mirip Daihatsu Mira Jepun. Dengan terlancarnya projek kereta nasional kedua, dijangka akan dapat menyediakan di antara 400 hingga 600 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Sesungguhnya perjanjian usahasama itu, melambangkan hubungan baik yang berterusan antara Malaysia dan Jepun. Di samping itu projek Kereta Nasional kedua juga diharap akan menjadi landasan yang kukuh untuk pemindahan teknologi Jepun ke negara ini sekaligus memanfaatkan industri automatif tempatan.
DAN jangan lupa baca yang di bawah ini juga.....

PERASMIAN PERHIMPUNAN AGONG KE 4 PERTUBUHAN ANTARA PARLIMAN ASEAN (AIPO)
PERASMIAN PERHIMPUNAN AGONG KE 4 PERTUBUHAN ANTARA PARLIMEN ASEAN (AIPO)Tarikh Peristiwa : 02-02-1982

Pada hari ini dalam tahun 1982, Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan Perhimpunan Agong Ke-4 Pertubuhan antara Parlimen ASEAN (AIPO), bertempat di bangunan Parlimen Kuala Lumpur. Para perwakilan yang hadir diperhimpunan agong ini adalah terdiri daripada ahli-ahli Parlimen negara-negara ASEAN iaitu Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina. Turut hadir dalam perhimpunan tersebut ialah Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Syed Nasir Ismail dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang juga sebagai Ketua Perwakilan Malaysia di Perhimpunan tersebut, Dato' Mokhtar Hashim. Dalam ucapan perasmiannya Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad menyelar negara-negara maju yang sanggup menghancurkan pasaran getah antarabangsa menerusi jualan stok penimbal bahan berkenaan, yang mana ianya telah menjejaskan kehidupan ribuan pekebun-pekebun kecil di Malaysia dan negara-negara ASEAN lainnya. Justeru itu, Perdana Menteri menggesa pihak ASEAN bersatu dan memperolehi sokongan jitu daripada pihak yang membuat undang-undang. Ini adalah penting bagi negara-negara ASEAN menghadapi amalan perlindungan perdagangan oleh negara-negara maju berkenaan. Sesungguhnya dengan berlangsungnya Perhimpunan Agong Ke-4 Pertubuhan Antara Parlimen ASEAN pada hari ini diharap akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan dasar-dasar dan undang-undang negara-negara ASEAN.

* Selamat membaca dan kesempatan ini, IBM ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru cina untuk kaum 'TIONGHUA'....'Gong Xi Fa Chai'. Ikhlas dari : IBM
Sumber : Arkib Negara.

No comments:

Post a Comment