Pages

Wednesday, February 2, 2011

Krisis Mesir : ATM bantu pindah rakyat Malaysia ke Jeddah

Inilah pesawat digunakan oleh ATM bagi memindahkan rakyat Malaysia yang berada di Mesir

TERKINI @ 03:28:38 PM 02-02-2011
February 02, 2011

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Tiga pesawat Malaysia yang akan berlepas ke Mesir petang ini dijangka mengambil masa lima hari untuk operasi pemindahan rakyat Malaysia dari negara itu ke Jeddah, Arab Saudi.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata operasi tersebut akan bermula secepat mungkin sebaik sahaja pesawat tersebut tiba di Cairo.

“Pesawat C-130 akan beroperasi selama 24 jam berturut-turut tanpa henti bagi memindahkan kira-kira 14,000 rakyat Malaysia yang berada di sana,” katanya kepada pemberita di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) menghantar lima pegawainya ke Mesir bagi membantu pemindahan pelajar tajaannya dari negara yang mengalami pergolakan itu ke Jeddah, Mekah.

Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata dua daripada pegawai itu akan berlepas dengan penerbangan TUDM petang ini manakala tiga lagi akan berlepas malam ini dengan penerbangan biasa.

Katanya, kelima-lima pegawai itu akan diletakkan di Jeddah bagi menggerakkan bilik operasi di samping memberi pelbagai bantuan termasuk kaunseling dan logistik.

“Proses pemindahan itu dijangka akan mengambil masa tiga hari sebelum kesemua pelajar Mara dijangka pulang ke tanah air 4 Februari nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya bilik operasi turut dibuka di Tingkat 4, ibu pejabat Mara di ibu negara sejak 31 Januari lalu yang beroperasi 24 jam.

Idris berkata Mara juga telah mengerahkan para pegawainya untuk berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa ketibaan pelajar pada 4 Februari nanti bagi urusan pengangkutan dan penginapan sementara mereka di German-Malaysia Institut, Bangi.

Menurutnya pada masa ini terdapat hampir 1,000 pelajar tajaan Mara di Mesir yang majoritinya sedang mengambil bidang perubatan.

Bagi mendapatkan sebarang maklumat berhubung kedudukan dan keadaan pelajar Mara di Mesir, hubungi talian MARA 03-26936666/03-26943366/03-26946622. Bernama


* Kepada semua rakyat Malaysia, khusunya pelajar-pelajar di Mesir, di nasihatkan jangan panik. Kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk memindahkan semua rakyat Malaysia yang berada di Mesir. Dan mereka-mereka semua hendaklah sentiasa mendengar dan akur dengan arahan dari pihak keduataan Malaysia di Mesir. Kita sama-sama mendoakan agar mereka semua selamat. Insyallah - IBM

No comments:

Post a Comment