Wednesday, June 22, 2011

Nostalgia Tambak Johor

DARI MEJA IBM :
ASSALAMUA'LAIKUM W.B.T SALAM UKHWAH DAN SALAM SEJAHTERA KEPADA SEMUA

GAMBAR pada 15 September 1976 ini menunjukkan Kompleks Lama Pemeriksaan Kastam ke atas lori-lori yang berderet menanti giliran.

TAMBAK Johor yang menjadi penghubung antara Johor dan Singapura, sememangnya menyimpan pelbagai nostalgia sejak dibina hampir 100 tahun lalu.

Banyak peristiwa penting berlaku sama ada melibatkan kegiatan ekonomi, politik serta sosial negeri ini khasnya dan Malaysia amnya.

Laluan dengan jarak kira-kira satu kilometer itu mempunyai sejarah dan nilai sentimental yang tinggi lebih-lebih lagi di kalangan penghuni kota di pinggir bandar raya ini.

Bagi yang mencari rezeki di negara jiran itu, pengorbanan masa dan kepayahan mengharungi kesibukan jalan raya sebelum melepasi tambak tersebut memberikan pengalaman tersendiri.

Antara ribuan mereka itu ialah Lim Chi Leong, 37, dari Taman Setia Indah, di sini. Dia telah bekerja di Singapura lebih 10 tahun lalu dan mempunyai kenangan unik ketika mula-mula bertugas.

Menurut pekerja kilang itu, setiap hari, sejak sedekad yang lalu, dia perlu keluar rumah seawal pukul 7 pagi, mengayuh basikal dari rumah sebelum meletakkannya di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan menaiki bas ke Singapura.

“Saya menaiki basikal sejauh lebih 10 kilometer setiap hari dan rutin ini berlarutan selama dua tahun. Kemudian saya mula menggunakan motosikal untuk ke tempat kerja.

“Kini setiap hari apabila melalui Tambak Johor, perasaan akan terasa sayu bercampur gembira terkenangkan laluan itu banyak berjasa apatah lagi bagi mereka yang mencari rezeki,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

PEMANDANGAN Tambak Johor yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura, lambang kerjasama dua negara berjiran.

Chi Leong berkata, tidak ramai yang tahu bahawa tambak itu merakamkan pelbagai sejarah sejak sebelum merdeka lagi dan ia wajar dibukukan jika kerajaan bercadang merobohkannya.

Seorang lagi pengguna setia laluan di Tambak Johor itu, Kamarulzaman Mohamad, 38, pula menyifatkan pengalamannya berjalan kaki di sepanjang tambak itu memberikan satu pemandangan indah.

Katanya yang telah bekerja lebih 20 tahun di Singapura dan bapa kepada tiga anak itu, mereka memilih untuk berjalan kaki adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas kerana masa yang diambil hanya kira-kira 15 minit.

“Kita akan dapat melihat Bandar Raya Johor Bahru dan Singapura yang damai dan menenangkan jiwa,” ujarnya lagi.

Intheran Krishnasamy, 36, dari Larkin pula mempunyai perasaan berbeza apabila mengenangkan Tambak Johor kerana dia akan terbayang masalah kesesakan lalu lintas yang teruk.

Sebelum ini, katanya, dia akan bangun seawal pukul 3 pagi dan sampai ke tambak tersebut kira-kira sejam selepas itu sebelum terpaksa beratur untuk melintasi jambatan terbabit.

“Sampai ke hari ini, setiap hari pukul 4 pagi masih boleh dilihat pekerja-pekerja kilang berjalan kaki dari Tambak Johor ke Woodlands iaitu sempadan Singapura,” katanya.

Sementara itu, Lim Kee Hua, 26, dari Permas Jaya pula percaya, golongan paling ramai yang melalui tambak itu setiap hari adalah mereka yang bekerja di negara berkenaan.

Dia yang telah empat tahun bekerja di negara pulau tersebut berkata, ia berdasarkan jumlah kenderaan khususnya bas kilang yang melalui Tambak Johor setiap hari.

MEMANG ANTARA JOHOR DENGAN SINGAPURA BANYAK MENYIMPAN KENANGAN NOSTALGIA HINGGA KINI - IBM


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...