Pages

Monday, November 28, 2011

Kuala Lumpur Bandaraya Berlubang??

ASSALAMUALAIKUM SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1 MALAYSIA


SEORANG penunggang motosikal melalui jalan yang rosak di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.




KUALA LUMPUR 27 Nov. – Bosan, sakit hati dan kecewa antara perasaan yang bersarang dalam hati pengguna jalan raya di ibu negara apabila memikirkan masalah jalan rosak yang terpaksa dilalui setiap hari.
Biarpun pendedahan demi pendedahan dibuat oleh Utusan Malaysia mengenai isu itu, namun ia bagaikan menyiram air ke daun keladi kerana tiada peningkatan ketara terhadap kualiti jalan raya seperti yang diharapkan pengguna.


Laporan Khas Utusan Malaysia bertajuk ‘MRR2 Zon Perang?’ pada Mac 2010, ‘Kualiti Jalan di KL Kelas 3’ (Ogos 2010), ‘Sampai bila jalan berlubang?’ (Ogos 2010) dan ‘Teknologi jalan zaman British’ (Oktober 2011) semuanya mempersoalkan keadaan jalan raya di ibu kota.


Pelbagai usaha dibuat pihak berkuasa untuk memperbaiki keadaan jalan raya selepas laporan mengenainya disiarkan, namun entah di mana silapnya masalah itu kembali berlaku bagai tiada penghujung.


Jalan berlubang, retak, mendap, beralun, tampalan tidak sempurna dan berpasir merupakan situasi yang terpaksa dihadapi pengguna jalan raya menyebabkan pemilik kenderaan pening kepada memikirkan kos tambahan untuk penyelenggaraan kenderaan.


Kerap kali jalan raya yang baru diturap, dikorek semula untuk dipasang kabel atau saluran air dan selepas itu tidak ditampal dengan sempurna menyebabkan keadaan jalan kembali rosak dan tidak rata.


Gambar-gambar yang dirakamkan oleh jurufoto Utusan Malaysia, MOHD. NAIM AZIZ di sekitar ibu negara adalah bukti tentang kesengsaraan yang terpaksa ditempuhi pengguna jalan raya untuk ke destinasi masing-masing.


Di Jalan Raja Chulan berhampiran pusat beli-belah Pavilion, keadaan jalannya tidak mencerminkan prestij kawasan itu yang menjadi tumpuan perniagaan dan pelancong.
JALAN raya yang telah lama mendap dan rosak sehingga kini belum lagi dibaik pulih berhampiran Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.


Jalannya berlubang, berpasir serta tidak rata akibat turapan yang tidak berkualiti.


Keadaan di Jalan Ampang pula lebih teruk apabila sepanjang laluan itu ada sahaja lubang serta tampalan yang tidak rata dengan ada yang berlubang kembali.


Keadaan jalan yang berpasir tidak menghairankan dengan kehadiran lori mengangkut bahan itu yang keluar masuk ke kawasan pembinaan di kawasan tersebut.


Seharusnya jalan-jalan utama di pusat bandar raya ini perlu berkeadaan baik kerana ia mencerminkan imej negara.


Jalan di kawasan-kawasan perumahan juga turut tidak terlepas daripada mengalami keadaan sama termasuk kawasan yang dianggap elit seperti Taman Tun Dr. Ismail dan persimpangan Mont Kiara ke Sri Hartamas.
Jalan berlubang dan tidak dibaik pulih sejak sekian lama menyebabkan kualiti hidup penghuni terjejas.


Jika jalan raya rosak berlaku di kawasan seperti itu, mungkin keadaan jalan di kawasan perumahan lain di pinggir kota lebih teruk lagi.
Di Taman Cheras Perdana, lubang sedalam satu meter hanya ditutupi dengan kepingan besi seakan mengundang padah kepada pengguna yang melalui jalan tersebut.


Biarpun ia telah ditanda dengan tali keselamatan, namun masih lagi berbahaya kepada pemandu serta penunggang motosikal terutama pada waktu malam dengan jarak penglihatan yang terhad.
Seorang penunggang motosikal hampir terjatuh setelah mengelak kenderaannya daripada jalan raya yang berlubang dan berlopak di Jalan Utama, Kampung Lindungan, Kuala Lumpur.


Di sepanjang Jalan Kepong dan Jalan Kuchai Lama pula, senario jalan berlubang, retak dan tidak rata sudah menjadi pemandangan biasa.
Ia turut sama berlaku di susur keluar ke Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) ke Jalan Genting Klang dan juga di Jalan Loke Yew.


Persoalannya, bilakah semua ini akan berakhir? Pihak berkuasa tempatan dan kementerian yang bertanggungjawab perlu mempunyai pelan dan cara khusus memantau serta menangani masalah jalan rosak agar ia tidak berulang.


Tidak sampai 10 tahun lagi Malaysia akan menjadi negara maju, namun di mana manisnya status itu apabila kualiti jalan raya masih lagi di tahap negara dunia ketiga.
KEADAAN permukaan jalan yang hanya ditutup dengan sekeping besi di Taman Cheras Perdana, Kuala Lumpur.

Artikel yang menarik. Harap Dewan Bandaraya Ambil berat. Ini Aduan rakyat. Jangan di pandang ringan. Terima kasih Utusan Malaysia. Ikhlas dari saya yang benar : IBM


[---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------]

No comments:

Post a Comment