23 DISEMBER
Masjid Jamek, Kuala Lumpur
MENGIMBAU KEMBALI SEJARAH SILAM TANAH AIR KITA. TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA - IBM
PERASMIAN MASJID JAMEK KUALA LUMPUR TARIKH PERISTIWA : 23.12.1909 |
Pada hari ini dalam tahun 1909, Masjid Jamek di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur telah dibuka dengan rasminya oleh Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Masjid yang tertua di Wilayah Persekutuan ini menjadi tumpuan orang Islam di sekitar pusat bandar untuk menunaikan sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat dan lain-lain kegiatan keagamaan. Selain dari itu, masjid ini juga menjadi tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri kerana keunggulan senibinanya yang sangat indah dan bersejarah. Kedudukannya yang unik dan strategik iaitu di pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang mempunyai catatan sejarah sebagai tempat tumpuan saudagar dan peniaga suatu ketika dulu. Pembinaan bangunan asal masjid ini menelan belanja sebanyak RM32,625 di mana RM12,000 daripadanya adalah sumbangan dari masyarakat, manakala bakinya adalah sumbangan dari Kerajaan Negeri Selangor. Arkitek yang bertanggungjawab menghasilkan senibina masjid ini ialah Encik A.B. Hubbock yang bertugas di Jabatan Kerja Raya ketika itu. Beliau mendapat ilham untuk menghasilkan reka bentuk tersebut berpandukan kepada reka bentuk masjid-masjid di Utara India. Malah Encik A.B. Hubbock juga mereka bentuk bangunan Keretapi Tanah Melayu di Jalan Sultan Hishamuddin. Kedudukan masjid ini yang dikelilingi oleh pusat-pusat pentadbiran Kerajaan dan swasta, gedung-gedung perniagaan menambahkan lagi bilangan jemaah yang datang untuk menunaikan sembahyang terutamanya untuk bersembahyang Jumaat. Usaha-usaha untuk membaik pulih dan membesarkan Masjid Jamek ini telah dijalankan sejak tahun 1979. Kerja-kerja pemulihan dan pembesaran mula dijalankan pada 10 Mei 1983 melibatkan:
Hasilnya masjid itu kini boleh menampung kira-kira 3,500 jemaah berbanding dengan hanya kira-kira 1,500 orang sahaja sebelum itu. Selain dari itu, masalah hakisan yang mengancam masjid itu telah juga dapat diatasi dengan pembinaan tebing konkrit yang kukuh. Usaha-usaha membaikpulih ini telah menelan belanja sebanyak RM4 juta. Ia ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya. Perbelanjaan ini tidak termasuk kelengkapan-kelengkapan masjid bernilai kira-kira RM400,000 yang diperolehi daripada sumbangan orang ramai.
[SUMBER : ARKIB NEGARA.COM]
|
No comments:
Post a Comment