Pages

Tuesday, March 13, 2012

Bahayanya ASID. Parut Kekal Sepanjang Hayat!!



TAHUN 2010 dan 2011 diwarnai dengan palitan berita-berita menyedihkan yang meninggalkan kesan, parut dan kecacatan kekal bagi mereka yang menjadi mangsa simbahan asid.
Tindakan menyimbah asid kepada individu atas tujuan melampiaskan amarah semakin menjadi-jadi, seolah-olah ia merupakan satu trend baharu.
Sehingga kini, ramai yang sudah menjadi mangsa tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa.
Andaian bahawa tragedi simbah asid tidak akan berlaku pada tahun ini ternyata meleset apabila muka seorang duda disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika berada di tepi Sekolah Kebangsaan Tendong, Pasir Mas, Kelantan membuka tirai 2012 Januari lalu.
Ia diikuti dengan kejadian dua sahabat cedera parah apabila masing-masing disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika sedang tidur selepas menonton perlawanan bola sepak di Kampung Padang Merchang, Marang, Terengganu 20 Februari lalu.
Pada 27 Februari pula, seorang penyelia di sebuah pusat kecantikan cedera parah selepas disimbah cecair dipercayai asid di Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, Selangor.
MANGSA simbahan asid akan mengalami kesan trauma dan psikologi yang panjang kerana kecacatan akibat kejadian itu akan kekal sepanjang hayat.


Rentetan beberapa insiden yang berlaku di tempat-tempat awam, ramai yang takut untuk keluar rumah dan tidak kurang pula ada yang berwaspada apabila melihat plastik atau botol yang berisi cecair putih.
Sifat menghakis
Mengapa bahan yang dinamakan asid ini begitu ditakuti? Asid ditakrifkan sebagai sejenis bahan kimia yang mempunyai nilai pH kurang daripada tujuh dan bersifat menghakis.
"Dari segi kimia, asid diterjemahkan sebagai penderma proton (H+), manakala alkali pula diterjemahkan sebagai penerima proton.
"Kedua-duanya dipanggil sebagai bahan kaustik iaitu bahan yang boleh menghasilkan kebakaran dan kerosakan tisu (kulit, mata dan lain-lain) yang signifikan apabila terdedah kepadanya," kata Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat (JIM), Pusat Pengajian Sains Kimia Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Mohd. Jain Noordin Mohd. Kassim.
Tambahnya, kekuatan sesuatu asid atau alkali ditentukan oleh skala pH (potential of hydrogen) yang berjulat di antara satu hingga 14 dan bersifat logaritmik.
Asid yang kuat mempunyai pH satu, manakala alkali yang kuat mempunyai pH14. Mana-mana bahan yang mempunyai pH7 adalah neutral.
"Jika tertelan, pesakit mungkin mengalami kesan terbakar di kawasan mulut dan bibir, air liur meleleh, nafas berbau aneh, kesukaran untuk menelan, kesukaran mengeluarkan suara, kesakitan retrosternal, kesesakan nafas, kadar pernafasan bertambah dan bunyi pernafasan tidak normal.
"Bukan asid sahaja yang menyebabkan sifat menghakis, malah alkali juga mampu berbuat demikian jika ia mempunyai bacaan pH14," terang Mohd. Jain.
KEADAAN wajah Mohd. Rafie Abdul Latiff yang parah disimbah asid oleh seorang tidak dikenali di Jalan Tuanku Abdul Rahman tahun lalu.


Disebabkan banyak kejadian menjadikan asid sebagai senjata bagi melampiaskan amarah dan rasa tidak puas hati, banyak pihak yang menggesa kerajaan supaya mengawal penjualan asid.
Mungkin ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan memandangkan penggunaan meluas asid dan alkali sebagai bahan kegunaan harian.
"Asid sulfurik terdapat dalam pencuci tandas, pencuci bahan-bahan logam, bateri kenderaan, senjata api dan digunakan di kilang baja.
"Kepekatannya berkadar di antara 8 peratus hingga 100 peratus asidik. Asid sulfurik pekat sifatnya sangat higroskopik dan boleh menyebabkan kecederaan kulit secara dehidrasi, dan kecederaan haba (kebakaran)," katanya.
Contoh bahan-bahan berasid lain yang boleh mendatangkan mudarat adalah seperti asid nitrik, asid hidrofluorik, asid fosforik, asid asetik, asid formik dan fenol.
Sodium/kalsium hipoklorit pula biasanya didapati dalam bahan peluntur dan larutan berklorin.
Klorin-klorin yang digunakan di kolam juga mempunyai kandungan sodium hidroksida dan mempunyai pH 13.5, membuatkannya bersifat sangat kaustik. Sementara bahan peluntur yang digunakan di rumah hanyalah sekitar pH11.
Contoh bahan-bahan beralkali yang kurang berbahaya adalah seperti kalsium hidroksida, fosfat, silikat, sodium karbonat dan litium hidrida.
Kebiasaannya mangsa yang terkena simbahan asid di muka dan badan berdepan dengan kemusnahan di bahagian kulit dermis dan epidermis yang terletaknya reseptor-reseptor dan kelenjar-kelenjar.
Sensitiviti kulit
Pakar Runding Sakit Kulit, Dr. Mohd. Noh Idris menjelaskan, kemusnahan tersebut akan memberikan kesan kepada mangsa kerana ketidakfungsian reseptor dan kelenjar yang berada di lapisan kulit tersebut.
"Secara umumnya kulit terdiri daripada tiga lapisan iaitu epidermis, dermis dan tisu subkutaneus. Epidermis berfungsi untuk mengeluarkan pigmen iaitu melanin," kata beliau.
Ujarnya, melanin menghindarkan kulit dan organ daripada kerosakan matahari serta radiasi, manakala dermis pula mengandungi kolagen, tisu elastik, kelenjar minyak, kelenjar peluh, urat saraf dan saluran darah.
"Bahagian dermis inilah yang membuatkan kita rasa sakit, panas dan sejuk. Lapisan tisu subkutaneus pula mengandungi saluran darah dan urat saraf. Bahagian ini amat penting untuk mengawal suhu dalam badan.
"Oleh yang demikian, jika kulit tidak dijaga dengan baik, fungsinya akan hilang. Antara fungsi-fungsi kulit adalah mengawal suhu badan, menghindarkan tubuh daripada kehilangan cecair dan menghindarkan kemasukan kuman serta bahan toksik dari luar.
"Kulit juga mengawal badan daripada kerosakan matahari dan berperanan dalam penghasilan vitamin D," ujarnya.

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (kiri) melawat mangsa simbah asid, Che Ku Zaimah Che Ku Awang dan anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda (kanan) di Hospital Sultanah Nur Zahirah pada tahun 2010.


Dalam pada itu, Pakar Pembedahan Plastik Hospital Pantai Ampang, Dr. Cheong You Wei memberitahu, kecederaan yang dialami oleh mangsa kebakaran dan mangsa simbahan asid tidak sama.
"Melecur biasanya merujuk kepada sesuatu yang basah seperti air panas, wap panas, asid dan bahan kimia, manakala terbakar pula merujuk kepada sesuatu yang kering daripada sumber api.
"Apabila seseorang itu terkena asid, bahan kimia tersebut akan masuk ke dalam kulit. Oleh yang demikian, ia perlu dibasuh dengan air yang banyak. Lap sahaja tidak memadai kerana jika ia terus masuk jauh ke dalam kulit, sukar untuk dirawat," katanya sambil memberitahu bahagian terkena asid itu perlu dibasuh dengan air selama setengah jam hingga satu jam bagi mengurangkan kerosakan kulit.
Membersih dengan air
Tambahnya, kecederaan yang disebabkan oleh asid sukar untuk dijangkakan kedalaman kemusnahan, tetapi jika kecederaan terbakar kerana api boleh dikelaskan pada darjah pertama, kedua dan ketiga dengan lebih mudah.
"Merawat mangsa terbakar pada darjah satu dan dua memadai dengan mencuci luka sahaja kemudian kulit baharu akan muncul.
"Jika kulit terbakar dengan teruk dan menyebabkan kulit mati, ia perlu dibuang bagi mengelakkan kemasukan kuman sebelum membuat tampalan graf kulit," ujarnya.
Katanya lagi, seseorang yang disimbah atau terkena asid perlu bertindak segera dengan membasuhnya dengan air yang banyak dan perlu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Pembedahan tidak boleh dilakukan segera dan biasanya perlu tunggu diperhatikan beberapa hari. Jika ia semakin teruk, barulah pembedahan dilakukan. Jika kerosakan kulit tidak dalam, pembedahan tidak diperlukan.
"Sebelum graf kulit dilakukan, perlu dipastikan bahawa tiada lagi sisa-sisa asid berada di dalam kulit, jika tidak graf kulit akan mati," jelasnya.
Kerosakan yang berada jauh ke dalam kulit tidak boleh dicuci malah ia perlu dipotong selapis demi selapis sehingga tisu yang sihat kelihatan.
Asid yang terkena pada mata mungkin akan menyebabkan buta. Bahagian yang mempunyai struktur seperti kelopak mata, hidung dan bibir akan hilang bentuknya apabila terkena asid akibat kehadiran parut tebal yang menggeleber.
"Biasanya kita akan utamakan rawatan untuk mengembalikan fungsi supaya pesakit dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
"Sudah semestinya bahagian kulit yang terkena asid akan meninggalkan parut. Jika tidak dirawat ia akan menjadi parut yang lebih kasar," katanya.
Bagi mengelakkan parut menjadi lebih kasar, senaman dan urut perlu dilakukan di tempat-tempat yang berkenaan bagi mencegah parut yang lebih kasar terbentuk.
p/s : IBM Kata, "memang bahaya 'ASID' ni. Kepada pembaca yang budiman, setelah baca dengan terperinci dan memahami isi kandungannya, janganlah cuba-cuba untuk bermain dengan  asid kerana ianya amat merbahaya dan jangan sekali-kali menggunakannya terhadap sesiapa sahaja, baik musuh atau pun kawan-kawan kita. Jika ia terkena di muka dan  tubuh badan manusia, kesannya amatlah buruk, boleh membuat seseorang itu akan merana sampai ke akhir hayatnya. Dan jika dapat ditangkap berat hukumannya pada si pesalah."
TERIMA KASIH KOSMO ONLINE.COM.
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA

No comments:

Post a Comment