ANALISIS : PAS dilihat lebih mengutamakan misi menawan Putrajaya dari terus mempertahankan hudud seperti yang dilakukan oleh parti itu sebelum bergabung dengan PKR dan DAP di bawah Pakatan Rakyat. Penganalisis Politik, Zulkiflee Bakar menulis persoalan ini dibangkitkan apabila PAS membuat keputusan menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang sehingga menimbulkan pertanyaan apakah PAS membuat tindakan yang betul.
Ia memandangkan PAS yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama mempunyai misi bagi melaksanakan pemerintahan Islam dan memperjuangkan hukum hudud. Bagaimanapun sejak pilihan raya umum lalu, apabila PAS berjaya menawan Kedah dan mempertahankan kekuasaan di Kelantan serta membantu PKR dan DAP memerintah Pulau Pinang dan Selangor, soal hudud sudah jarang dibincangkan oleh PAS.Keadaan ini berlaku kerana atas hasrat menjaga hubungan dengan kedua-dua parti berkenaan, PAS dengan rela hati mengorbankan perjuangan negara Islam dan hukum hududnya. Apa yang lebih banyak kita dengar sebelum ini ialah keterujaan PAS untuk bersama-sama PKR dan DAP menumbangkan Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan mereka menguasai Putrajaya.
Sebab itulah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, PAS menghasilkan manifesto bertemakan 'Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih - Menuju Negara Berkebajikan'. Ia sekali gus bermakna secara rasmi PAS sudah meninggalkan perjuangan negara Islam dan hukum hudud demi meraih sokongan politik. Justeru bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat acuh tidak acuh dalam isu penentangan oleh DAP melalui Pengerusinya, Karpal Singh berhubung hukum hudud. Sebaliknya, Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas mesyuarat Lujnah Politik PAS lebih selesa mahu terus menjaga kepentingan politik PAS apabila menganggap penentangan Karpal adalah perkara biasa dan menunding jari mempersalahkan Umno berikutan kemelut yang berlaku.
Biar pun Abdul Hadi dalam kenyataannya menegaskan bahawa hukum hudud akan dilaksanakan mengikut lunas-lunas demokrasi namun ia boleh dianggap satu jawapan ibarat lepas batuk di tangga sahaja. Ternyata PAS tidak mahu isu hukum hudud menggugat hubungannya dengan dua parti kesayangan mereka iaitu PKR dan DAP. Tidak kisahlah kalau PAS terus diperkotak-katikkan atau dilihat dibuli dalam pakatan pembangkang yang pasti PAS sanggup menempuh itu semua semata-mata tidak mahu dipinggirkan oleh kedua-dua parti itu dalam memburu kuasa.Berdasarkan kepada kenyataan Abdul Hadi dan PAS yang ternyata tiada langsung menunjukkan keseriusan parti itu memperjuangkan hukum hudud maka tidak perlulah pemimpin dan penyokong tegar PAS di peringkat akar umbi bermuram durja kerana terbukti kini PAS bukan lagi memperjuangkan Islam.
Harapan untuk mereka melihat pemimpin atasan bermati-matian mempertahankan perjuangan Islam dan hukum hudud serta berani menyanggah penentangan DAP hanyalah satu mimpi indah yang tidak kesampaian. Ternyata sekali lagi, hukum hudud hanyalah mainan politik PAS menjelang pilihan raya, kalau benar mereka serius memperjuangkan perkara berkenaan sudah pasti mereka akan senada dengan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa. Namun malangnya ketegasan Nasharudin mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS serta membela maruah parti itu dianggap suara 'pemimpin' yang sudah ditolak oleh akar umbi.
Demikianlah hebatnya PAS mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP sehinggakan mana-mana juga pemimpinnya yang dilihat tidak mahu menjaga hubungan berkenaan akan dipinggirkan. Mungkin atas alasan itulah pimpinan PAS menyerahkan kepada Majlis Syura Ulama menetukan tindakan ke atas Nasharudin, ini sekali gus memberi gambaran bahawa Ahli Parlimen Bachok itu sememangnya bersalah pada kaca mata PAS kerana membuat kenyataan meminta parti itu mengkaji kedudukannya dalam pakatan pembangkang. Nasharudin adalah pemimpin kedua dalam PAS yang mungkin akan disingkirkan selepas Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat daripada PAS kerana dilihat tidak senada dengan parti itu dalam memberi sokongan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Soal sama ada mereka mempertahankan maruah atau martabat PAS, Islam mahupun dasar parti bukanlah perhintungan utama sebaliknya semua pemimpin PAS perlu akur untuk terus 'berpeluk' dengan pemimpin PKR dan DAP, biarpun PAS diperkotak-katikkan serta menjadi 'pak turut'. Semua itu tidak penting bagi kepimpinan PAS kerana apa lebih utama memburu kuasa politik, PAS mungkin sudah bosan hanya memerintah satu dua negeri, PAS ingin menjadi pemerintah pusat selepas 66 tahun berjuang dalam arena politik negara. Justeru yang mana boleh dikorbankan hatta prinsip perjuangan sendiri pun maka ia harus dikorbankan asalkan PAS boleh berada 'sekapal' dengan PKR dan DAP menuju ke Putrajaya.
________________________________________________________________
Perjuangan Pas yang dahulu kalau nak dibandingkan Pas sekarang ini memanglah berbeza Kalau dulu tujuan Pas ditubuhkan adalah untuk memperjuangkan 'agama' Islam. Tapi....sejak di era Pok Nik ni, setelah di racuni oleh DAP dan PKR, mereka lupa tujuan asal perjuangan mereka. Niat untuk menerajui negara dan akan menjawat jawatan tertinggi nanti sekiranya mereka berjaya tawan putrajaya, meluap-luap di hati sanubari Pas.
Atau, mungkin mereka baru sedar atau terjaga dari lamunan beranggapan mereka dah terlalu lama jadi pembangkang. Nak juga rasa jadi pemerintah. Takkan Barisan Nasional (BN) selama-lamanya. Lagi pun para pemimpin Pas dah lanjut usia mereka, dah senja. Jadi, sebelum mereka di panggil kembali oleh yang maha esa, teringin jugaklah mereka nak pegang jawatan yang penting-penting tu. BANYAK MASUKKKK.
Oleh kerana terpengaruh dengan janji-janji manis dari sekutu mereka, maka, mereka dah lupa nak melaksanakan hukum hudud yang mereka laung-laungkan selama ini. Apatah lagi, sekutu kuat Pas, DAP menentang sekeras-kerasnya akan perlaksanan hukum hudud. Manakala PKR pula diam membisu, cari jalan selamat. Maka, Pas le yang jadi mangsa dan akan di perkuda-kudakan oleh DAP, kini dan selama-lamanya.
Kesimpulannya, Pakatan Rakyat yang di anggotai Pas, DAP dan PKR, adalah pakatan haram yang tidak sehaluan. Masing-masing mempunyai agenda tersendiri mereka. Maka, wajarlah di tolak kumpulan ini dari terus menjahanamkan negara pada PRU ke-13 nanti. fikir-fikirkanlah. Ikhlas dari saya ~ IBM
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA
No comments:
Post a Comment