Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mara ke pusingan final Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka India selepas menewaskan Du Pengyu dari China, 21-17, 19-21, 21-14 pada aksi separuh akhir, malam Sabtu. Pemain berusia 31 tahun itu mengambil masa selama 1 jam 12 minit untuk menamatkan perlawanan tersebut. Chong Wei bermula dengan cemerlang apabila memenangi set pertama 21-17 dalam masa 25 minit. Namun, Pengyu yang juga pemain pilihan ketujuh bangkit dengan memenangi set kedua 21-19 dan memaksa perlawanan diheret ke set ketiga. Chong Wei bagaimanapun menemui semula rentak permainannya apabila menang set ketiga dengan 21-14.
Terdahulu, Chong Wei menjadi tunggal negara dalam kejohanan tersebut selepas beregu wanita dan campuran terkandas di peringkat suku akhir pada Jumaat. Chong Wei, selaku juara bertahan dan pemain pilihan utama kejohanan, tidak berdepan dengan masalah untuk melangkah ke separuh akhir apabila menewaskan pemain India Kashyap Parupalli 21-15, 21-13 dalam pertarungan selama 40 minit. Sementara itu, Pengyu melangkah ke separuh akhir selepas menumpaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen 21-11, 22-24, 21-19 dalam saingan selama 68 minit. Dalam perlawanan separuh akhir berasingan, pemain pilihan kedua, Chen Long menundukkan pemain Denmark, Jan O Jorgensen 21-15, 21-23, 21-19 dalam masa 1 jam 19 minit. Keputusan itu bakal mempertemukan Chong Wei dan Chen Long di pusingan final pada Ahad.
P/S ~ Syabas Datuk Lee. IBM yakin Datuk Lee boleh mempertahankan kejuaraan ini yang dimenanginya pada tahun lepas. Sama-sama kita doakan agar Datuk Lee berjaya kerana Malaysia boleh!. Wasallam ~ IBM
"TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA"
No comments:
Post a Comment