PERTH : Sebuah pesawat Australia mengesan isyarat yang berpotensi semasa menjalankan pencarian bagi Penerbangan MH370 Malaysia Airlines di Lautan Hindi tengah hari Khamis. Ini disahkan oleh Ketua Pusat Koordinator Agensi Bersama Australia (JACC) Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston. "Semasa menjalankan pencarian akustik, pesawat AP-3C Orion Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) telah mengesan isyarat yang berkemungkinan di sekitar kawasan carian kapal pertahanan Australia, Ocean Shield," kata beliau dalam satu kenyataan. Beliau berkata data akustik itu memerlukan analisis lebih lanjut semalaman tetapi ia "menunjukkan potensi dari sumber peralatan buatan manusia".
Houston berkata beliau akan memberi maklumat mengenai perkembangan terkini jika dan apabila maklumat lanjut diperoleh. Beberapa transmisi isyarat yang mungkin dari perakam penerbangan MH370 telah dikesan sejak Jumaat. Dua isyarat pertama dilaporkan dikesan pada Jumaat dan Sabtu oleh kapal China yang menyertai opetrasi pencarian sementara empat lagi isyarat dikesan oleh Ocean Shield, dua isyarat dikesan pada Sabtu dan dua lagi pada Selasa. Kotak hitam MH370, yang mengandungi perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit, mungkin dapat merungkai persoalan tentang apa yang berlaku pada MH370 yang melencong beribu-ribu kilometer dari laluan asalnya semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 krew, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama. Operasi pencarian yang disertai pelbagai negara dikerah untuk menjejaki MH370, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang dua koridor - koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand - dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Berdasarkan analisis terbaharu data satelit yang belum pernah dilakukan sebelum ini, syarikat telekomunikasi United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIM) merumuskan bahawa MH370 telah terbang melalui koridor selatan dan bahawa kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, tujuh belas hari selepas pesawat itu dilaporkan hilang bahawa Penerbangan MH370 telah "berakhir di selatan Lautan Hindi".
P/S ~ Teruskan mencari. Insyallah lambat-laun akan ketemu juga. Kita sebagai rakyat Malaysia, jangan putus asa, teruskan berdoa agar pencarian MH370 akan berakhir tidak lama lagi. Wasallam ~ IBM
"TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA"
No comments:
Post a Comment