Showing posts with label Hari Inin Dalam Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Hari Inin Dalam Sejarah. Show all posts

Sunday, February 20, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

20 FEBRUARI

Detik-detik sejarah Tanah Melayu di beri kemerdekaan

PENGUMUMAN KEMERDEKAAN DI PADANG BANDAR HILIR, MELAKA
Tarikh Peristiwa : 20-02 1956
Pada hari ini dalam tahun 1956, Padang Bandar Hilir, Negeri Melaka telah menyaksikan detik-detik bersejarah Pengumuman Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Pengumuman keramat itu telah di lafazkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra dihadapan lebih 100,000 hadirin. Pengumuman Kemerdekaan ini dibuat sekembalinya rombongan Merdeka yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra dari London pada 19 Februari. Mereka telah diarak dan di sepanjang jalan dari Lapangan Terbang hingga ke Padang Bandar Hilir, sorak Merdeka tidak putus-putus kedengaran. Bandar bersejarah itu telah dihias indah sempena upacara penuh gemilang. Seluruh rakyat keluar beramai-ramai membawa bendera-bendera dan cogan-cogan kata mengalu-alukan ketibaan rombongan tersebut. Pada upacara bersejarah itu, Tunku telah mengumumkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai Kemerdekaan dengan rasminya pada 31 Ogos 1957. Serentak dengan itu pekikan Merdeka bergema di angkasa. Detik-detik bersejarah ini tidak mungkin luput dalam lipatan sejarah kemerdekaan tanahair. Kejayaan yang ditempa, adalah hasil kerjasama dari rakyat jelata dan pemimpin-peminpin negara yang berwibawa.

DAN DI HARI YANG SAMA......

PERASMIAN HELIKOPTER TERBARU MOFAZ AIR JENI
Tarikh Peristiwa : 20-02-1993

Pada hari ini dalam tahun 1993, Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan Helikopter terbaru Mofaz Air Jeni jenis Bell 206L-4 Long Ranger bertempat di Stesen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi, Kuala Lumpur. Pada majlis tersebut, Perdana Menteri telah dibawa menaiki pesawat tersebut mengelilingi ibu negara selama 25 minit. Helikopter Bell 206L-4 Long Ranger yang direka berdasarkan versi popular 206L, mempunyai kapasiti membawa 6 orang penumpang dan mempunyai kelajuan 111 knot pada berat kasar maksimum dengan jarak perjalanan 350 batu nautika. Ketika berucap pada majlis tersebut, Perdana Menteri menyarankan agar lebih banyak syarikat tempatan melibatkan diri dalam bidang teknologi penerbangan bagi menggalakkan lagi perkembangan industri tersebut di negara ini. Perdana Menteri juga menyatakan kesediaan kerajaan memberi sokongan dan bantuan kepada syarikat-syarikat berkenaan bagi menarik lebih banyak penyertaan dalam bidang teknologi tersebut. Sesungguhnya, Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang telah dianjurkan sejak tahun 1991, merupakan langkah strategik yang membantu menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan industri penerbangan di negara ini.


SELAMAT MEMBACA KEPADA PARA PEMBACA YANG BUDIMAN - IBM

SUMBER : ARKIB NEGARA

Wednesday, January 26, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

Assalamualikum, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Jangan lengah-lengah, mai kita baca apa yang berlaku pada hari....


26 JANUARI
PERLANTIKAN TUNKU ABDUL RAHMAN SEBAGAI CANSELOR UNIVERSITI MALAYA.
PERLANTIKAN TUNKU ABDUL RAHMAN SEBAGAI CANSELOR UNIVERSITI MALAYA
Tarikh Peristiwa: 26-01-1962

Pada hari ini dalam tahun 1962, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail telah melantik YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu sebagai Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur yang pertama. Pelantikan ini telah dibuat bagi mengenang jasa-jasa dan sumbangan beliau terhadap negara. Pelantikan ini telah menjadikan Tunku sebagai rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang pertama telah dilantik untuk menyandang jawatan tersebut. Pencalonan dan pemilihan beliau ke jawatan Canselor Universiti Malaya ini telah diperkenankan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 25 Januari 1962. Pelantikan ini juga telah disokong oleh Persidangan Raja-raja Melayu yang telah mengemukakan persetujuan agar jawatan Canselor harus disandang oleh Tunku secara peribadi. Pelantikan Tunku Abdul Rahman adalah dibuat berdasarkan Perlembagaan Baru Universiti Malaya 1961 bahagian 53 dan beliau telah menduduki jawatan sebagai Canselor Universiti Malaya selama tujuh tahun mulai 1 Januari 1962.

* Selamat Membaca..! - IBM
Sumber : Arkib Negara
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...