Wednesday, December 30, 2015

SALAM PERPADUAN UMNO - PAS LABUH TIRAI 2015

RABU, 30 DISEMBER 2015

Sama ada pembangkang mahupun parti pemerintah Barisan Nasional (BN), tahun ini menyaksikan mainan pelbagai emosi antara kecewa, marah, suka dan duka membabitkan barisan kepimpinannya. Sungguhpun demikian, insiden yang berlaku di kalangan parti-parti komponen pembangkang dan BN gagal dimanfaatkan oleh mana-mana pihak demi kepentingan politik mereka. Jika disingkap kembali kalendar politik negara sejak permulaan  2015, komponen pakatan pembangkang sebelum ini yang terdiri daripada PAS, DAP dan PKR tidak pernah sunyi daripada krisis hingga akhirnya membawa kepada perpecahan. Bibit-bibit keretakan sebenarnya bermula sejak penghujung 2014 apabila PAS secara terbuka menolak pilihan PKR dan DAP untuk melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Kemarau di pihak pembangkang semakin jelas apabila pemimpin utama mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menjalani hukuman penjara selama lima tahun. Ia susulan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari memutuskan Anwar bersalah kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Selepas ketiadaan bekas ketua pembangkang itu yang selama ini bertindak sebagai ejen penyatuan khususnya antara PAS dan DAP, pakatan pembangkang dilihat tak ubah seperti sebuah kapal yang tiada nakhoda. Umum mengetahui kerjasama pembangkang atas nama Pakatan Rakyat yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum 2008 kini hanya tinggal sejarah. Dalam hal ini, banyak pihak menyalahkan PAS kerana dianggap menjadi punca kepada berakhirnya kerjasama berkenaan.
Titik perpecahan episod hitam itu dikesan  apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan notis pemberitahuan mengenai usul berkaitan hudud kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah pada 18 Mac. Rentetan daripada itu, PAS turut membentang dan meluluskan enakmen undang-undang berkaitan hudud di Kelantan pada 19 Mac lalu. Tindakan Hadi yang dilihat membelakangi DAP dan PKR dalam hal berkenaan menimbulkan kemarahan bukan sahaja dikalangan rakan sekutunya itu namun mencetuskan rasa kurang senang pemimpin progresif dalam PAS sendiri. DAP memberi tentangan paling hebat dalam isu hudud yang diperjuangkan PAS hingga Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu yang bermesyuarat pada 23 Mac mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi namun mahu kekal bekerjasama dengan parti Islam berkenaan.
Sejak itu PAS dan DAP saling bercakaran antara satu sama lain selepas prinsip 'bersetuju untuk tidak bersetuju' yang  digunapakai mereka sejak sekian lama gagal difahami dan dipatuhi. Serangan demi serangan DAP terhadap Abdul Hadi nyata tidak disenangi ahli parti Islam itu hingga perwakilan Muktamar Tahunan PAS ke-61 mengambil keputusan untuk berpecah dengan DAP pada 6 Jun lalu. Lebih parah, pada muktamar yang sama pimpinan progresif dalam PAS yang sering dikaitkan sebagai ejen DAP turut disingkirkan dalam pemilihan parti itu. Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, proses 'pembersihan' yang dilakukan PAS terhadap bekas pemimpinnya membawa kepada perkembangan terkini situasi politik dalam negara.
Kata Ahmad Atory, PAS akan berhadapan masalah besar dalam pilihan raya akan datang susulan terhakisnya sokongan terhadap mereka khususnya di kalangan pengundi di kawasan bandar. "Apa yang terjadi, inilah harga yang perlu dibayar oleh PAS. Mereka kena tanggung risiko apabila ramai ahli keluar PAS. "Paling nyata PAS kehilangan beberapa pemimpin berpengaruh dalam menarik sokongan pengundi seperti Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam) dan Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja). Mereka ini menang besar di kawasan bandar dan kerusi campuran," katanya kepada mStar Online baru-baru ini.
Buktinya pada 13 Julai lalu bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengumumkan hasrat menubuhkan parti politik baharu yang diterajui pemimpin progresif dalam PAS. Pada ketika itu kumpulan berkenaan bergerak atas nama Gerakan Harapan Baru. Akhirnya pada 16 September lalu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu melancarkan penubuhan parti politik baharu yang dikenali sebagai Parti Amanah Negara (Amanah). Kehadiran Amanah akhirnya memberi lembaran baharu kepada DAP dan PKR selepas PAS mengambil langkah untuk bergerak bersendirian di peringkat Persekutuan.
Susulan itu satu persidangan meja bulat yang melibatkan DAP, PKR, Amanah dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan pada 22 September bagi mencari penyelesaian terhadap kerjasama pembangkang yang dilihat longgar. Pertemuan berkenaan akhirnya mengambil kata putus untuk menubuhkan kerjasama pembangkang yang baharu atas nama Pakatan Harapan tanpa melibatkan PAS.
PERPADUAN UMNO - PAS
Disebalik perpecahan Pakatan Rakyat dan krisis dalaman PAS, tahun ini sebenarnya membawa kepada lembaran baharu dalam arena politik negara. Ia berlaku secara spontan tatkala Umno selaku parti dominan dalam BN turut berhadapan krisis membabitkan pimpinan tertingginya. Ia bermula apabila satu rakaman video ucapan keras bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kerugian syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Janda Baik tersebar di Internet pada 21 Mei lalu. Bermula daripada itu Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno dilihat semakin  berani menyuarakan kebimbangannya berhubung masa depan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.
Selepas itu pada 26 Julai, Muhyiddin sekali lagi mengulangi gesaannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menyelesaikan isu 1MDB seperti yang dituntut rakyat. Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi Muhyiddin apabila Najib bertindak memecatnya menerusi rombakan Kabinet dua hari selepas itu iaitu pada 28 Julai lalu. Turut digugurkan, Naib Presiden Umno yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal. Kesan daripada itu, Umno berhadapan krisis kepimpinan yang meruncing akibat kebangkitan kumpulan penyokong Ahli Parlimen Pagoh itu kerana membantah tindakan Najib.
Bagi Ahmad Atory, beliau menyifatkan krisis kepimpinan Umno yang berlaku di era pemerintahan Najib adalah yang terburuk sejak penubuhan parti itu. Malah beliau turut bersetuju bahawa ia lebih buruk daripada krisis yang berlaku pada 1988 yang membawa kepada pengharaman parti berkenaan. Sehubungan itu, menurutnya, 'salam perpaduan' yang dihulurkan Umno kepada PAS pada Perhimpunan Agung Umno 2015 awal bulan ini berlaku secara bersebab. "Saya percaya PAS sekarang hadapi isu perpaduan dan Umno juga hadapi isu yang sama.
"Jadi dua parti yang sama-sama lemah ni nak bergabung. Umno hulurkan tangan perpaduan dan PAS juga seakan mahu hulurkan perpaduan dengan Umno. "Kiranya yang lemah sama lemah nak bergabung dan diharapkan mendapat kekuatan baharu, dimensi baharu untuk berdepan dengan serpihan-serpihan mereka," katanya. Jelas Ahmad Atory, beliau melihat kerjasama yang bakal terbentuk antara Umno-PAS merupakan 'talian hayat' kepada kedua-dua parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. "Di pihak PAS sudah pasti ada tentangan dalaman. Dalam Umno pun tak kurang juga yang menentang kepimpinan yang ada hari ini.
"Bezanya Umno tak menubuhkan parti baharu. Tapi saya fikir sama sahaja, kalau tak bentuk parti pun, tapi kalau tak mengundi dalam pilihan raya tak guna juga," katanya. Tambah Ahmad Atory lagi, kalendar 2015 bakal ditutup dengan isu perpaduan antara Umno dan PAS yang sudah sekian lama diperkatakan. "Jadi tahun 2015 adalah bermulanya perpaduan dan kerjasama antara PAS dan Umno yang sama-sama lemah bagi mencari kekuatan baharu. "Kita boleh fikir mengikut logik dalam perniagaan. Sesuatu syarikat itu akan bergabung apabila ia tidak mempunyai wang yang  mencukupi. "Kalau Umno kuat, hendak ke Datuk Seri Najib hulurkan tangan...sorry lah. 
Tapi sebab Umno lemah ia terjadi. Saya yakin kalau Umno tak hulurkan tangan kepada PAS, Umno akan ketandusan dan mungkin susah untuk bentuk kerajaan," katanya. Bagaimanapun Ahmad Atory mengandaikan bahawa formula perpaduan antara Umno dan PAS hanya akan berhasil secara bersyarat. "Kalau jadilah kerjasama ini, saya yakin ia akan berjalan secara bersyarat. "Kalau isu yang dihadapi oleh Umno dan kerajaan tak selesai dan rakyat tak menerima penyelesaiannya...ia pasti susah," katanya. SUMBER.
P/S - Harap-harap perpaduan UMNO-PAS ini berjaya bagi menyatukan umat Islam di negara ini yang sekian lama berpecah-belah gara-gara politik. Insyallah. Dari saya - IBM. #UMNOPJUTETAPDIHATIKU.
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...