Seniman Jins Shamsuddin kini seorang Senator, setelah beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara Oktober 2004 yang lalu. Bagi kebanyakan orang filem perlantikan Jins selama dua tahun itu adalah puncak perjuangan yang tidak pernah selesai sejak setengah abad yang lalu. Malah ia merupakan lambang pengiktirafan kerajaan terhadap jatuh bangunnya perusahaan filem Melayu. Orang filem tahu kegigihan Jins yang cuba memecahkan monopoli dua gergasi filem tanah air sejak tahun 1950an lagi, iaitu Shaw Brothers dan Cathay Keris. Maka perlantikan Jins sebagai senator tidak dipertikai sesiap malah dialu-alukan oleh masyarakat seni.
Jins beruntung kerana beliau satu-satunya seniman yang masih aktif dalam perjuangan ini. Dalam usia 69 tahun, Jins bergerak melalui agendanya, kadang-kadang direstui dan kadang-kadang bersendirian. Walaupun agendanya filem dan masa depan perfileman tetapi Jins menggunakan pelbagai cara dan strategi, walau kadang-kadang melimpahi ke sempadan seni yang lain, termasuk sastera-budaya. Malah Jins kini aktif juga dan (seni?) politik.
Bidang-bidang ini seperti telah menyatu dalam dirinya sehingga akhirnya beliau dilihat wajar mewakili masyarakat seni di Dewan Negara. Jins terhutang budi dengan “guru yang juga mentor”nya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang telah memperkenalkannya dengan dunia dan seni perfileman. Filem-filem seperti “Anakku Sazali”, “Sarjan Hassan” dan “Panca Delima” mengaitkannya dengan P. Ramlee.
Bersama P. Ramlee, H.M.Shah, Jaafar Abdullah, Jins berusaha menjayakan Perusahaan Filem Nasional (Perfima) yang mereka tubuhkan di Kuala Lumpur pada November 1972. Mereka disertai pemodal-pemodal tempatan dan beberapa orang bekas pekerja Shaw Brothers. Perfima mendapat bantuan MARA, UDA dan Bank Bumiputra. Dengan modal RM5 juta, Perfima diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan filem Melayu tahun 1950-60an, malah dalam pada itu Perfima turut diharapkan menjadi wakil tunggal mengimport dan mengedarkan filem-filem asing di negara ini.
Sayangnya H.M. Shah dan P. Ramlee meninggalkan Perfima atas sebeb-sebab peribadi dan menubuhkan Syarikat Perfileman Rumpun Melayu Sdn Bhd. Syarikat ini tidak mengeluarkan filem tetapi sekadar mengimport filem asing untuk tayangan dalam negeri. Nasib tidak menyebelahi syarikat ini kerana P. Ramlee meninggal dunia dan syarikat itu seperti hidup segan mati tak mahu. H.M. Shah begitu mengharapkan pengalaman dan kepakaran P. Ramlee untuk menjaya syarikat itu.
Dalam peretmuan eksklusif saya dengan Jins di Perfima yang berpejabat di Jalan Ampang untuk “write-up” majalah Dewan Masyarakat pada tahun 1973, Jins bercerita tentang suka-duka sebagai anak wayang. Monopoli dua gergasi filem waktu itu sungguh-sungguh “mencekikkan”. Katanya, “Perfima, sebuah studio yang bertujuan mengeluarkan filem-filem bermutu dan mengedarkan Indonesia kini sedang perlahan-lahan dicekik oleh Shaw Brothers.” Bagaimanapun ketika itu Jins yakin “lambat laun benteng monopoli ini roboh juga akhirnya.”
Jins mengemukakan berbagai-bagai cadangan untuk memecah monopoli ini, termasuk campur tangan kerajaan. Antara cadangannya membangunkan panggung sendiri, mengadakan kuota import filem asing untuk melindungi pengeluaran filem tempatan dan mempastikan filem-filem yang diimpot tidak bertentangan dengan konsep Rukunegara. Lebih penting semua filem import hendaklah bersarikatakan bahasa Melayu sahaja.
Cadangan Jins yang mengaitkan filem dengan budaya begitu ditekankan. Menurutnya, kerajaan perlu campur tangan dalam mengimport filem asing. Jins yakin banyak filem asing boleh merosakkan “peradaban bangsa. Masyarakat ditonjolkan dengan kisah seks melulu, keganasan dan sebagainya. Kesannya kian nyata bila dadah, ganja, curi, rampas, rogol dan lain-lain sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat hari ini.”
Di Dewan Negara, Senator Othman Abdullah mengulangi kebimbangan Jins ini. Katanya, “Keluar sahaja dari bangunan Parlimen kita terus melihat anak-anak muda berasamara di sana sini di Taman Bunga.Tentu ini adalah kesan menonton filem-filem seks.” Sementara Jins mengulangi cadangannya itu dalam Seminar Ekonomi Bumiputra yang diadakan di Universiti Malaya tahun 1973.
Kini, masyarakat filem menaruh harapan kepada Jins untuk terus menyuarakan rintihan dan harapan mereka di Dewan Negara. Platform perjuangan Jins tidak lagi setakat Studio Panca Delimanya, tetapi semakin membesar dan bersigfat lebih rasmi dan nasional di Dewan Negara. Sebagai senator yang turut aktif dalam politik, Jins mempunyai peluang sepenuhnya untuk memperjuangkan bidang yang telah menjadi darah dagingnya.
Jins mampu dan boleh melakukan sesuatu. Ini anggapan orang filem. Walaupun rancangan untuk mengeluarkan filem “Pasir Salak”nya masih tertangguh dan dipersoal sesetengah pihak, namun baginya Pasir Salak telah menjadi masalah remeh dengan adanya platform yang lebih besar ini. Kata seorang peminatnya, “Minta-minta Jins dengan mencicah usia lanjut itu akan terus diberikan kekuatan, rohani dan jasmani untuk menyuarakan keluahan anak wayang. Jins perlu mendekati mereka bukan sebagai saingan tetapi sebagai sumber inspirasi untuknya berhujah dalam Dewan Negara.”
Penglibatan Jins dalam bidang sastera-budaya amat membantu. Jins banyak teman di kalangan penulis dan aktivis budaya. Ini dapat dilihat melalui kekerapannya hadir dalam majlis-majlis anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena). Jins tidak kekok bergaul mesra dengan anggota kerabat. Barangkali sudah menjadi tanggung jawabnya begitu kerana Jins ahli persatuan penulis nasional (Pena) dengan nombor urutan 191. Penglibatannya tidak sekadar memenuhi undangan atau menggenapkan jumalah ahli tetapi turut giat di lapangan.
Ketika berlangsungnya Pertemuan Sasterawan Nusantara di Ujung Pandang, Makasar, Indonesia pada tahun 1986, Jins merupakan salah seorang daripada 69 anggota perwaikilan Gapena yang turut hadir. Setiap anggota perwakilan mungkin tidak dapat melupakan bagaimana sibuknya Jins macam lipas kudung menguruskan bagasi dan “check-in” di lapangan terbang Jogjakarta dan Bali. Pada 19 November, ketika penerbangan Jogjakarta-Ujung Pandang tergendala hampir satu jam, akibat karenah birokrasi terminal, Jins ke sana ke mari bersama beberapa orang pemimpin Gapena, termasuk Tan Sri Ismail Hussein menyelesaikan masalah. Sehingga ke hari ini kami anggota rombongan tidak pernah dimaklumkan secara rasmi punca penerbangan tergendala.
Usaha Jins seperti ini datangnya secara sukarela dan kerana cintanya kepada cabang yang turut menjadi profesionnya. Tidak siapa yang menyuruhnya. Sebagai seniman besar dan menjadi idola remaja, Jins boleh sahaja mendiamkan diri di satu penjuru balai berlepas. Tetapi Jins tidak berbuat demikian. Dalam pada itu pandangan yang diberikan dalam majlis-majlis dialog atau makan malam di Rumah Gapena mencerminkan gejolak rasanya dalam bidang yang beliau telah benar-benat menjadi sebahagian daripada periuk nasinya pula.
Sastera dan filem, dua genre dalam satu kesatuan yang terbaur diri manusia yang bernama Jins. Beliau bukan jin yang menjelmam dalam diri manusia. Sesekali berbual dengannya dalam majlis-majlis anjuran Gapena, saya mengingatkan kembali kepada pertemuan di pejabatnya Perfima tahun 1973 itu. Ketika saya dipersilakan masuk oleh seniman Wahid Satay yang berada di pintu pejabat, saya terlihat Jins sudah pun berada di mejanya. Di atas meja ada sebuah buku. Tidak pasti apakah dia sedang khusyuk membacanya atau sedang berlakon membaca. Melihat saya masuk Jins bingkas bangun dan menghulurkan tangannya. “Saya tengah baca novel ini untuk cuba nak buat filem,” katanya tanpa ditanya.
IBM : Sangat-sangat meminati filem-filem yang dilakukan oleh Jin Shamsuddin. Tengah tunggu bila Jins Shamsuddin nak buat Filem/Drama 'Politik'..............