Tarikh Perisitiwa Pada 17.12.1891
MALAYSIA - ARAB SAUDI TANDATANGANI KERJASAMA BIDANG PENERANGAN |
Tarikh Peristiwa Pada 17.12.1982 Hubungan persahabatan di antara pelbagai negara akan mendatangkan hasil yang lebih baik jika kedua-dua pihak kerajaan dapat memberikan komitmen dan penyertaan yang menyeluruh. Pada 17 Disember 1982 satu perjanjian kerjasama bidang penerangan di antara kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Arab Saudi telah diadakan. Malaysia diwakili oleh Pemangku Menteri Penerangan Datuk Rais Yatim dan Arab Saudi diwakili oleh Menteri Penerangan iaitu Sheikh Dr. Mohamad Abdul Yamani. Melalui perjanjian ini kerjasama kedua-dua negara dalam bidang penerangan iaitu meliputi petukaran rancangan-rancangan radio dan televisyen, filem serta buku mengenai pembangunan negara masing-masing. Serentak dengan ini juga kedua-dua negara bersetuju mengadakan rancangan pertukaran kakitangan radio dan televisyen serta wartawan. Melalui kerjasama di bidang penerangan ini diharap rakyat kedua-dua negara akan dapat mengenal dengan lebih mendalam di antara satu sama lain. Bagi menyelaras pelaksanaan projek ini, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan bagi pihak Malaysia dan Timbalan Menteri Penerangan Arab Saudi dan pegawai-pegawai tinggi kementerian penerangan masing-masing. Persetujuan yang dicapai pada hari ini merupakan langkah untuk merapatkan hubungan antara kedua-dua negara dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. |