Salam, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia,
UNDANG-UNDANG PERAIRAN DAERAH KRIAN DIKUATKUASAKAN |
Tarikh Peristiwa Pada 26.12.1905 Pada hari ini dalam tahun 1905, Undang-undang Pengairan Krian telah dikuatkuasakan. Ia juga dikenali dengan nama Enakmen Pengairan Krian 1905. Enakmen ini mempunyai beberapa peraturan, larangan dan hukuman yang berkaitan dengan pengairan di Krian. Undang-undang tersebut dilaksanakan untuk memudahkan pentadbiran dan pembangunan yang dijalankan selain menjaga keadilan kepada masyarakat awam. Enakmen ini meliputi Daerah Krian sahaja di mana ia memperuntukan perkara-perkara berkaitan kuasa dan tanggungjawab Residen dengan persetujuan Residen Jeneral. Pengumuman dalam Warta Kerajaan digunakan untuk mengenal pasti tanah-tanah dalam pengairan tersebut sama ada diusahakan atau tidak. Sekiranya diusahakan, kadar air tahunan akan dikenakan. Jika tidak, sebarang perusahaan, penanaman dan lain-lain tujuan tidak akan dibenarkan. Aktiviti tanpa persetujuan pegawai, boleh dikenakan tindakan iaitu penjara 6 bulan atau denda seratus ringgit atau kedua-duanya sekali. Berikutan penguatkuasaan enakmen in, ia dapat mengawal dan menjaga sistem pengairan secara lebih sempurna. Secara tidak langsung, aktiviti pertanian dapat dijalankan dengan lebih teratur dan hasil keluaran dapat ditingkatkan. Pada hari ini 26.12.1970, YM Tunku Abdul Rahman bekas Perdana Menteri Malaysia telah disahkan perlantikan sebagai Setiausaha Agung pertama bagi Sekretariat Islam. Pengesahan perlantikan tersebut telah dibuat dalam Persidangan Menteri-menteri Luar Negara-negara Islam di Karachi, Pakistan. Persidangan tersebut yang berlangsung selama tiga hari telah dibuka oleh Presiden Jeneral Asha Mohammed Yahya Khan. Sebanyak 23 buah negara Islam menghadiri persidangan ini yang akan membincangkan perkara-perkara yang telah disusun dalam sidang di Jeddah pada bulan Mac yang lalu. Menurut peraturan-peraturan yang dibuat, Setiausaha Agung yang dilantik akan berkhidmat dalam tempoh dua tahun dan boleh dilantik semula sekali sahaja. Setiausaha Agung juga akan mempunyai kedudukan sebagai kakitangan awam antarabangsa di kalangan negara-negara anggota. Setiausaha Agung yang dilantik mestilah tidak membiarkan dirinya dipengaruhi oleh sebarang tekanan politik dari negara-negara anggota. Beliau juga mestilah bersikap bebas dalam membuat keputusan-keputusan mengenai masalah-masalah pentadbiran dan kewangan Sekretariat. Persidangan Menteri-menteri Luar Negara-negara Islam yang berlangsung ini akan membincangkan beberapa agenda penting yang bertujuan untuk meninggikan kedudukan ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan Islam. Sidang ini juga diharap dapat menyelaraskan kegiatan-kegiatan dan keperluan-keperluan negara-negara Islam sesuai dengan perkembangan dunia. Di antara perkara-perkara yang termasuk dalam agenda ialah krisis Timur Tengah, rumusan damai Rogers, cadangan Pakistan supaya ditubuhkan Bank Perdagangan dan Pembangunan Islam dan cadangan Malaysia supaya ditubuhkan sebuah agensi berita bersama di kalangan negara-negara anggota. YM Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya menyatakan bahawa banyak perkara yang dapat dicapai oleh negara-negara Islam sekiranya negara-negara Islam dapat bersatu serta jujur dalam menyelesaikan masalah-masalah secara kolektif. Perlantikan YM Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Setiausaha Agung yang pertama bagi Sekretariat Islam pada hari ini dalam tahun 1970 sesungguhnya memberi penghormatan yang tinggi kepada Malaysia walaupun negara ini sebuah negara Islam yang kecil. ULASAN IBM : SELAMAT MEMBACA !! Sumber : Arkib Negara |