KUALA LUMPUR 16 Dis – Perbuatan ahli Parlimen pembangkang yang tidak menghormati sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini adalah suatu insiden yang merbahaya kerana boleh mengundang perkara yang tidak dingini.
Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata apa yang berlaku ketika perbahasan usul untuk menggantung Ketua Perbangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa pihak pembangkang sememangnya sengaja menolak sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
“Hari ini adalah sejarah hitam kepada parlimen kita, apabila pihak pembangkang dengan sengaja mengenepikan sistem demokrasi serta melakukan penghinaan terhadap yang DiPertua Dewan Rakyat (Tan Sri Pandikar Amin) apabila mengeluarkan kata-kata kesat kepada beliau.
“Insiden ini suatu insiden yang merbahaya, apa yang dilakukan oleh mereka itu dengan menjerit-jerit, mengeluar kata kesat serta menghentam meja dan jika hilang kesabaran boleh menyebabkan berlakunya perkara yang diluar jangkaan.
“Jika tahap kesabaran itu hilang, kita mungkin akan hilang pertimbangan, kita tak mahu apa yang berlaku di luar negara seperti Korea dan Taiwan berlaku di sini, kita tak mahu lihat ada di antara ahli parlimen yanag bertumbuk kerana hilang kesabaran, kita perlu rasional,” katanya kepada UMNO-Online.
Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pengantungan selama enam bulan terhadap Anwar Ibrahim serta tiga lagi ahli Parlimen, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) dari menghadiri persidangan berikutan isu firma perunding antarabangsa Apco Worldwide.
Ketika perbahasan usul pergantungan itu, persidangan Dewan Rakyat menjadi kecoh dan huru-hara berikutan cubaan ahli parlimen pembangkang menganggu perbahasan dengan tujuan untuk menangguhkan persidangan itu bagi membolehkan usul berkenaan tidak dibahas dan tiada keputusan dibuat.
Abdul Rahman berkata, sepatutnya biarlah usul itu dibahas terlebih dahulu dan keputusannya ditentukan oleh ahli Dewan Rakyat, setiap usul yang dibentangkan akan dibuat keputusan secara demokrasi melalui pengundian di kalangan ahli Dewan Rakyat.
“Semua pihak diberi peluang untuk berbahas, kemudian kita buat pengundian untuk menentukan usul itu diterima, tetapi apa yang dilakukan oleh pembangkang ialah menganggu perbahasan yang sedang berjalan, ini suatu perbuatan ynag tidak betul dan mengikut peraturan.
“Apa yang dilakukan oleh mereka itu merendah martabat sistem berparlimen dan ia satu penghinaan, kita tidak seharusnya membiarkan emosi menguasai kita, sebab itu jadi kecoh apabila tidak ikut peraturan,” katanya.
Menurutnya, perbuatan menjerit-jerit, menganggu perbahasan dan mempamerkan poster dalam sidang Dewan Rakyat tidak ubah seperti apa yang berlaku di luar negara sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan di kalangan ahli parlimen.
Beliau yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah berkata, kebijaksanaan penyokong kerajaan di Dewan Rakyat berjaya mengelak kejadian tidak diingini walaupun pihak pembangkang membuat provokasi. -MediaUMNO.