Tarikh Peristiwa Pada 19.12.1927
Pada hari ini 19.12.1927, pihak Suruhanjaya Sungai telah mengadakan mesyuarat pertama di Kuala Lumpur. Di dalam majlis mesyuarat itu pihak suruhanjaya telah membentangkan beberapa perkara iaitu: - Keperluan memperbaiki dan memelihara tebing dan alur sungai.
- masalah melombong timah daripada dasar sungai dan tanah landai samada menggunakan kapal korek atau cara-cara lain yang sesuai.
- mencari kaedah perlombongan yang praktikal
- kerjasama pengusaha lombong dengan kerajaan.
Mesyuarat itu diadakan berikutan dengan adanya perbezaan pendapat antara pengusaha lombong, jabatan 'hydraulic' dan Jabatan Kerja Raya berhubung dengan masalah banjir di sungai-sungai yang berdekatan dengan kawasan lombong. Berhubung dengan perkara tersebut pihak suruhanjaya mencadangkan agar arah aliran Sungai Kelang dan Sungai Kinta diubah bagi mengelak kemungkinan berlaku banjir di bandar Kuala Lumpur dan Ipoh. Walau bagaimanapun, suruhanjaya perlu mendapatkan persetujuan pengusaha lombong, jabatan 'Hydraulic' dan Jabatan Kerja Raya serta memeriksa sungai yang berkenaan sebelum melaksanakan sebarang usaha. Sehubungan dengan usaha mengatasi banjir pihak Suruhanjaya juga telah mengemukakan dua perkara penting iaitu: - baik/tidak untuk membenarkan melombong timah dari dasar sungai secara kapal korek.
- penyediaan 'tailing' di kawasan lombong sebagai saluran untuk sungai.
Kesimpulannya, mesyuarat pertama Suruhanjaya Sungai ini merupakan usaha awal untuk mencari kaedah yang sesuai bagi mengelak kemungkinan berlaku banjir di kawasan berhampiran lombong-lombong bijih timah. |