Pada hari ini dalam tahun 1981, Dewan Rakyat telah meluluskan Akta Waktu Standard Malaysia yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 1982. Ia bertujuan untuk menyeragamkan waktu rasmi bagi seluruh Malaysia. Sebelum akta tersebut diluluskan, Malaysia mempunyai dua waktu rasmi. Satu waktu rasmi bagi Semenanjung yang ditetapkan 7 ½ jam terdahulu dari ‘Greenwich Mean Time’ (GMT) sejak tahun 1941 dahulu, dan satu lagi waktu rasmi bagi Sabah dan Sarawak yang telah ditetapkan 8 jam ke hadapan GMT. Perbezaan waktu selama ½ jam ini telah memberi kesan kepada permulaan dan penamatan waktu bekerja di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Berikutan itu, kerajaan telah mengkaji cadangan untuk menyeragamkan waktu rasmi bagi seluruh negara dan penentuan waktu yang sesuai. Hasil daripada kajian tersebut, waktu rasmi Sabah dan Sarawak, iaitu 8 jam terdahulu daripada GMT telah dipilih sebagai waktu standard bagi Malaysia. Sesungguhnya, kelulusan Akta Waktu Standard telah menyeragamkan waktu komunikasi rasmi urusan pejabat di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak di samping merapatkan hubungan antara keduanya. |