Friday, December 10, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

10 DESEMBER

MAJALAH LEMBAGA MALAYA DITERBITKAN
Tarikh Peristiwa pada 10-12-1934


Pada hari ini 10.12.1934, Majalah Lembaga Malaya telah diterbitkan di Singapura. Majalah Mingguan ini diterbitkan dalam tulisan jawi, berukuran 9.6 inci lebar dan 14 inci panjang. Ianya mengandungi kira-kira 40 halaman dan diterbitkan setiap hari Isnin, sebelum diubah pada setiap hari Jumaat kemudiannya. Majalah ini juga diterbitkan di dua tempat iaitu di Singapura pada awal penerbitannya iaitu dari 1934 hingga 1938 dan kemudian di Johor Bahru dari tahun 1938 sehinggalah majalah ini diberhentikan penerbitannya pada tahun 1941. Majalah Lembaga Malaya ini pada awal penerbitannya iaitu dari tahun1934 hingga 1938 adalah di bawah Dato' Onn bin Jaafar. Kemudiannya Syed Alwi bin Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi mengambil alih tugas itu dari tahun 1936 sehingga 1941. Seorang lagi tokoh iaitu Syed Jaafar Albar juga tidak kurang pentingnya dalam penerbitan Lembaga Malaya. Beliau menjadi Penolong Pengarang majalah ini dari tahun 1936 hingga 1941. Kelahiran Majalah Lembaga Malaya ini telah merancakkan suasana pertubuhan persuratkhabaran dan majalah Melayu pada tahun 1930 itu. Penerbitan majalah ini, walaupun tidak lama usianya, tetapi telah berjaya menjadi wadah penting bagi mewujudkan kesedaran di kalangan orang-orang Melayu pada masa itu.


SAMBUTAN JUBLI PERAK KEMAS DI AIR KEROH, MELAKA
Tarikh Peristiwa pada 10-12-1988

Pada hari ini 10.12.1988 Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB. Encik Abdul Ghafar Baba telah merasmikan Sambutan Jubli Perak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), bertempat di Air Keroh, Melaka. Turut serta semasa majlis perasmian tersebut ialah Ketua Menteri Melaka Dato’ Seri Rahim Thamby Chik.
KEMAS diwujudkan oleh Kerajaan mempunyai matlamat tertentu seperti berikut:-

  1. Menukar sikap masyarakat dan bersedia melibatkan diri dalam perkembangan sosial, ekonomi dan politik.
  2. Membimbing masyarakat menggunakan sumber-sumber yang ada untuk mengatasi masalah sendiri, untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan sosial mereka atau dengan perkataan lain membantu masyarakat menolong diri sendiri.

Dalam ucapan perasmiannya Encik Ghafar Baba meminta KEMAS memahami dasar-dasar Kerajaan dan menyampaikan kepada penduduk luar bandar. Tujuannya ialah supaya tidak ada di kalangan rakyat kita diselewengkan terhadap dasar itu sendiri. Setiap dasar yang dibentuk oleh Kerajaan adalah untuk faedah rakyat dan negara. Maka perlulah kita memahami benar akan hakikat sesuatu dasar itu dilaksanakan. Di samping itu KEMAS juga diharapkan menjadi mata dan telinga Kerajaan. Tujuannya adalah supaya kita dapat mengetahui perkembangan yang berlaku di luar bandar, terutama bagi gejala-gejala yang kurang sihat seperti ajaran sesat dan sebagainya. KEMAS juga diharap dapat menerapkan nilai-nilai Islam dalam menjalankan semua aktivitinya. Sesungguhnya dengan perasmian sambutan Jubli Perak KEMAS pada hari ini, diharap KEMAS akan dapat melipatgandakan lagi usaha-usahanya ke arah memajukan masyarakat luar bandar demi untuk membangunkan Malaysia ke arah Negara Industri Baru.

# IBM : Informasi untuk semua. Selamat membaca, membaca menambahkan ilmu pengetahuan.!!

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...