Saturday, August 20, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM] :
Assalamua'laikum w.b.t Salam Ramadan salam Ukhwah dan salam sejahtera kepada semua

20 OGOS

HARI INI DALAM SEJARAH >>>

JEPUN MENYERAHKAN NEGERI-NEGERI UTARA TANAH MELAYU KEPADA THAILAND

TARIKH PERISTIWA : 20.08.1943

Pada hari ini 20.08.1943 satu perjanjian telah ditandatangani di Bangkok, Thailand di antara Duta Jepun ke Thailand, Teiji Tsubukami dan Perdana Menteri Thailand, Field Marshall Phibul Songram. Perjanjian itu adalah mengenai penyerahan negeri-negeri utara Tanah Melayu (Kelantan, Trengganu, Kedah dan Perlis) serta dua Wilayah Shan, dari pihak pentadbiran Tentera Jepun kepada pihak Pentadbiran Tentera Thailand. Penyerahan enam buah wilayah tersebut telah dilakukan kerana Jepun merasa terhutang budi kepada Thailand di atas bantuan sokongan dan kerjasama yang telah diberikan oleh Thailand dalam usahanya untuk menakluki Tanah Melayu. Jepun juga pernah berjanji untuk menyerah kembali negeri-negeri Melayu dan dua wilayah Shan itu yang dahulunya kepunyaan Thailand kepada Kerajaan Thailand sekiranya Jepun diberi bantuan dan kerjasama dalam usaha penaklukan Tanah Melayu. Perbincangan mengenai kedudukan wilayah-wilayah tersebut pertama kalinya telah diadakan pada 4hb Julai, 1943 di dalam satu pertemuan di antara Perdana Menteri Jepun, Jeneral Hideki Tojo dan Perdana Menteri Thailand, Field Marshall Phibul Songgaram semasa lawatan Perdana Menteri Jepun itu ke Thailand . Berikutan dengan peristiwa itu pada hari ini dalam tahun 1943 satu perjanjian telah ditandatangani untuk menyerahkan enam buah wilayah (empat buah di utara Tanah Melayu iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis; dan dua buah wilayah Shan, Selatan Thailand); kepada Pentadbiran Tentera Thailand. Negeri-Negeri Utara Tanah Melayu telah dikuasai oleh pentadbiran Tentera Thailand selama dua tahun. Dengan kekalahan Jepun di tangan pihak Berikat dan penyerahan kuasa tentera Jepun kepada Tentera Inggeris di Tanah Melayu pada akhir tahun 1945 maka berakhirnya pendudukan Jepun di Tanah Melayu, dan secara tidak langsung Negeri-negeri Utara Tanah Melayu kembali semula jatuh ke tangan pihak penjajahan Inggeris.

(Gambar Sekadar Untuk Hiasan)

SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA, MOGA CERIA BERSAMA KELUARGA TERSAYANG. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...