Wednesday, March 9, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

09 MARCH

UMNO, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat

Assalamualaikum Semua. Hayatilah apa yang berlaku pada hari ini. Sematkan kedalam sanubari Anda.....

PERUBAHAN DALAM UNDANG-UNDANG DASAR UMNO MALAYA
Tarikh Peristiwa : 09-03-1960
Pada hari ini dalam tahun 1960, Rang Undang-undang UMNO Malaya yang disesuaikan dengan kedudukan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang merdeka telah diterbitkan. Rang Undang-undang ini mula dianjurkan oleh Yang di-Pertuan Agong UMNO, Yang Teramat Mulia, Tunku Abdul Rahman. Rang Undang-undang ini digubal oleh Majlis Kerja Tertinggi dan kemudiannya akan dibentangkan dalam perhimpunan Agong UMNO Malaysia yang ke 13 di Kuala Lumpur. Rang Undang-undang dasar ini adalah baharu dalam erti kata yang seluas-luasnya kerana ia membaharui seluruh asas-asas dan tujuan-tujuan UMNO Malaya, termasuklah ikrar untuk memelihara bahasa Melayu. Dengan ini dasar baharu ini disesuaikan untuk memelihara dan mempertahankan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.Di antara lain, tujuannya ialah untuk:-
  • memelihara dan mempertahankan perlembagaan terutama mengenai agama Islam, bahasa dan kebudayaan Melayu, taraf dan kedaulatan raja-raja Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.
  • mengawal dan memelihara asas-asas pemerintahan demokrasi berparlimen.
  • memelihara dan menggalakkan perasaan muhibah antara warganegara Persekutuan yang berbagai keturunan
  • menjalankan ikhtiar dan langkah untuk kebajikan ahli-ahli dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu amnya.
  • menyokong dan mempertahankan piagam pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Perubahan-perubahan ditujukan untuk memperkukuhkan kuasa pimpinan pusat dengan maksud menghindarkan krisis-krisis yang sering berlaku di peringkat-peringkat Negeri dan Bahagian. Dalam Rang Undang-undang baru ini juga telah dipersetujui untuk membentuk sebuah Lembaga Pemecatan Kawasan terdiri dari 5 orang ahli yang dilantik oleh majlis Kerja Tertinggi. Ini ialah untuk menghindarkan dari pemecatan ahli dengan sewenang-wenangnya. Majlis Kerja Tertinggi juga berkuasa 'memilih dan menentukan calon-calon bagi pilihanraya Negeri dan Persekutuan yang dicadangkan oleh persidangan perwakilan bahagian'. Dengan ini, pimpinan pusat dapat memastikan pembahagian kerusi yang lebih adil dan saksama antara pemimpin-pemimpin di tingkat Bahagian dan Cawangan. Dengan terbitnya Rang Undang-undang baru UMNO pada hari ini dalam tahun 1960, maka segala asas-asas dan tujuan-tujuan UMNO Malaya telah turut dibaharui untuk memelihara dan mempertahankan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. DAN SETERUSNYA PADA HARI YANG SAMA.......


PEMBUKAAN RASMI KOMPLEKS SIRIM SHAH ALAM
Tarikh Peristiwa : 09-03-1977

Pada hari ini dalam tahun 1977, Kompleks SIRIM di Shah Alam, Selangor telah dibuka dengan rasminya oleh Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj. Kompleks ini mempunyai kemudahan infrastruktur seperti makmal ujian yang lengkap dengan ‘test bed’; makmal ujian fizikal dan material serta makmal konkrit dan simen. SIRIM atau Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia ini telah ditubuhkan pada tahun 1975 melalui penggabungan Institut Piawaian Malaysia (SIM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Industri Negara (NISIR). Antara peranan penting SIRIM adalah:

i. menyediakan piawaian berdasarkan keperluan perindustrian dan ekonomi negara dengan mengeluarkan Sijil SIRIM;

ii. menggalak dan melakukan penyelidikan saintifik dan industri terutama dalam industri asas tani, industri kecil dan industri yang berasaskan barangan tempatan. Ini akan dilakukan dengan kerjasama institusi penyelidikan seperti RRIM, MARDI dan Institut Penyelidikan Perhutanan; dan

iii. menyediakan ‘extension and consultancy services’ termasuk menguji bahan mentah dan barangan keluaran industri, mengendalikan ujian bahan kimia, membuat pemilihan proses pengeluaran, menggunakan teknologi luar dan memperkenalkan teknologi baru serta mengenal pasti masalah yang berlaku dalam industri. Ini akan dilakukan dengan kerjasama MARA, MIDF, FIDA dan NPC.


SELAMAT MEMBACA SEMUA PARA PEMBACA BUDIMAN - IBM

[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...