Tuesday, March 29, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

29 MARCH
ASSALAMUALAIKUM SEMUA.

Jangan jemu membaca. Kerana tabiat membaca besar ganjarannya. Insyallah.

MESYUARAT TERGEMPAR KONGRES MELAYU SE-MALAYA
Tarikh Peristiwa : 29-03-1946

Pada hari ini 29.3.1946 satu mesyuarat tergempar telah diadakan oleh Kongres Melayu Se-Malaya berikutan perisytiharan Kerajaan British untuk menubuhkan Kerajaan Malayan Union di Tanah Melayu pada 1 April, 1946. Mesyuarat yang berlangsung di Pejabat Akhbar Majlis Kuala Lumpur itu bertujuan mencari jalan bertindak balas di atas sikap keterlaluan British yang masih berdegil meneruskan cita-cita Malayan Union. Malayan Union mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu kerana tujuannya menyatukan negeri-negeri Selat (tidak termasuk Singapura) dengan negeri-negeri Melayu dalam satu unit pentadbiran di bawah pengawasan Gabenor sebagai ganti Pesuruhjaya Tinggi dan Sultan-Sultan. Hak Raja-Raja Melayu dilucutkan kecuali sebagai penasihat Agama dan Istiadat. Di samping itu sistem kerakyatan yang terbuka akan diperkenalkan. Bagi orang Melayu Malayan Union mengancam identiti mereka. Hak yang sama diberi pada rakyat British adalah perbuatan yang menyalahi perjanjian yang ada, bertarikh daripada perjanjian Perak (1874) hingga perjanjian Perlis (1930) di samping bersalahan dengan piagam Atlantik dan piagam Bangsa-bangsa Bersatu yang telah membuat polisi amanah, naungan dan bantuan dalam Kerajaan dengan menjamin layanan yang adil kepada bangsa anak negeri. Demi menghalang cita-cita Malayan Union, Kongres Melayu Se-Malaya dalam mesyuarat tergempar yang diadakan pada 29 dan 30 Mac 1946 ini telah membuat beberapa ketetapan yang akan disampaikan kepada semua rakyat di seluruh negara.

Antara keputusan yang diambil di mesyuarat tergempar tersebut ialah:

  1. Meminta semua orang Melayu di seluruh Tanah Melayu bergabung dengan melilit kain putih di songkok pada 1 hingga 7 April 1946 (seminggu) sebagai berdukacita atas kedatangan Malayan Union dan sebagai satu bantahan.
  2. Memohon Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Melayu jangan campur dalam istiadat menyambut Gabenor Malayan Union (jangan hadir istiadat mengangkat sumpah dan majlis penasihat Gabenor).
  3. Melantik Datuk Onn, Datuk Panglima Bukit Gantang, Datuk Nik Ahmad Kamil, Datuk Hamzah Abdullah menjadi wakil untuk mengadap Sultan-Sultan supaya mempersembahkan permohohan itu.
  4. Ahli-ahli kongres yang telah ditawarkan kepadanya menjadi ahli Majlis Penasihat Gabenor akan menarik diri daripada lantikan itu. Meminta orang-orang lain yang kena lantik menarik diri juga. Begitu juga orang-orang Melayu, jangan menerima lantikan menjadi ahli dalam mana-mana Majlis, Lembaga atau Jawatankuasa. Sesiapa orang Melayu yang melanggar ketetapan ini di pulau.
  5. Memulaukan perlantikan Gabenor Malayan Union.

Kelancangan British yang meneruskan penubuhan Malayan Union memperhebatkan tentangan dan bantahan dari Raja-Raja dan orang-orang Melayu yang telah bersatu padu semangat kebangsaannya. Perjuangan diteruskan sehinggalah konsep Malayan Union digantikan dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

DAN PADA HARI YANG SAMA...........
PERASMIAN SEMINAR INSTITUT TEKNOLOGI MAKMAL PERUBATAN DAN KESIHATAN
Tarikh Peristiwa : 29-03-1969

Seminar mengenai perubatan dan kesihatan memainkan peranan penting dalam menghasilkan idea-idea baru dalam bidang perubatan dan kesihatan di negara ini. Justeru itu pada hari ini 29.3.1969 Institut Teknologi Makmal Perubatan dan Kesihatan Kuala Lumpur, telah mengadakan Seminar Institut Teknologi Makmal Perubatan dan Kesihatan bertempat di Panggung Syarahan, Pusat Penyelidikan Perubatan, Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Seminar tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pelajaran Encik Mohd Khir Johari.

Di antara matlamat penting seminar itu diadakan ialah untuk:

Membincangkan mengenai keperluan tenaga manusia yang terlatih untuk perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan, serta juga membekalkan pakar-pakar yang mahir dan mencukupi dengan cara menubuhkan Sekolah Teknologi Makmal Perubatan dan Kesihatan, bagi mewujudkan perkhidmatan makmal perubatan dan kesihatan yang lengkap di seluruh negara.

Dalam ucapan perasmiannya, Encik Mohd Khir mengucapkan ucapan tahniah kepada kumpulan pakar-pakar Teknologi Makmal serta kakitangannya di atas daya usaha mereka dalam pembentukan Persatuan yang dinamakan Institut Teknologi Makmal Perubatan dan Kesihatan dan berharap usaha-usaha mereka akan mencapai kejayaan. Seminar tersebut juga telah membentangkan beberapa kertas kerja mengenai Teknologi Makmal Perubatan dan Kesihatan; Sesi Bengkel dan rumusan-rumusan penting mengenai seminar. Sesungguhnya seminar yang diadakan pada hari ini diharap akan dapat menarik minat generasi muda untuk mendekatkan diri mereka kepada perkembangan teknologi perubatan dan kesihatan sebagaimana yang dihasratkan oleh Kerajaan Malaysia.

SELAMAT MEMBACA. IKHLAS DARI : IBM

[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...