Wednesday, March 30, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

30 MARCH

ASSALAMUALAIKUM SEMUA.

Maaf, hari ini lambat sikit. Jom baca...

PENUBUHAN SYARIKAT PERMODALAN KEMAJUAN PERUSAHAAN MALAYSIA BERHAD (MIDF)
Tarikh Peristiwa : 30-03-1960
Pada hari ini dalam tahun 1960, Syarikat Permodalan Kemajuan Perusahaan Malaysia Berhad atau MIDF (Malaysian Industrial Development Finance) telah ditubuhkan dengan tujuan untuk meningkatkan kegiatan-kegiatan perusahaan dan pelaburan di negara ini. Penubuhan syarikat itu adalah amat penting kerana ianya sebagai satu bank pelaburan dan syarikat pengeluar dan penanggung saham dan juga sebagai pendaftar kepada syarikat-syarikat awam. Dua buah anak syarikat ditubuhkan untuk menyelaras segala urusan perusahaan. Pada tahun 1965 Syarikat MIEL (Malaysian Industrial Estates Ltd) ditubuhkan untuk memberi bantuan kepada pengusaha-pengusaha kecil membina kilang. Syarikat ini telah berjaya menubuhkan beberapa kawasan perindustrian termasuk kawasan perusahaan Mak Mandin, Prai, di Pulau Pinang; Shah Alam dan Petaling Jaya di Selangor; Larkin di Johor Bahru; Bintawa di Sarawak dan Likas di Sabah. Syarikat Perunding Perusahaan MIDF atau MIDFIC (MIDF Industrial Consultants) ditubuhkan pada tahun 1971 dengan bantuan daripada UNDP atau United Nations Development Programme. Syarikat ini bertujuan untuk membantu perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana yang sedia ada melalui perkhidmatan nasihat teknik. Sekarang, Syarikat Permodenan Kemajuan Perusahaan Malaysia serta anak-anak syarikatnya telah membina 153 kilang dan menjadi Pendaftar kapada 35 syarikat awam dengan modal sebanyak $917 juta. Ia mempunyai cawangan di Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Kuantan, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching. DAN JUGA PADA HARI YANG SAMA......

MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN KE-25 DAN PERASMIAN PAMERAN SEJARAH DAN PERKEMBANGAN PARLIMEN MALAYSIA
Tarikh Peristiwa : 30-03-1985

Pada hari ini dalam tahun 1985, telah berlangsung Majlis Perayaan 25 tahun Perlimen Malaysia, di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed. Turut serta pada majlis tersebut, Dato’ Seri Dr. Siti Hasmah serta Y.A.B Timbalan Perdana Menteri dan isteri. Berucap pada majlis perasmian itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa tidak ada sesiapa pun yang boleh berkata bahawa pilihan raya di Malaysia tidak bebas. Ini kerana tidak pernah berlaku parti kerajaan memenangi 100 peratus kerusi yang dipertandingkan. Malaysia ialah sebuah negara demokratik dengan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan. Menurut beliau lagi, walaupun kebebasan yang dinikmati oleh rakyat negara ini tidak mutlak dan tertakluk kepada sekatan-sekatan tertentu namun, sekatan tersebut tidak pula dikenakan dengan sewenang-wenangnya. Sekatan-sekatan itu dibuat berdasarkan kehendak rakyat melalui Parlimen dan perlu diadakan oleh Kerajaan, terutama dalam masyarakat majmuk di negara ini. Pada majlis tersebut juga, Perdana Menteri telah menyaksikan Pameran Sejarah Parlimen Malaysia dengan diiringi Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Zakiah Hanum Haji Abdul Hamid.


SELAMAT MEMBACA SEMUA. IKHLAS DARI : IBM

[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...