Monday, March 14, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

14 MARCH

Persidangan terakhir Majlis Raja-Raja sebelum merdeka

ASSALAMUALAIKUM.
Teruskan membaca kerana membaca akan memantapkan lagi minda kita. Jom....

PERSIDANGAN TERAKHIR MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU SEBELUM MERDEKA
Tarikh Peristiwa : 14-03-1957

Sebelum negara mencapai kemerdekaan beberapa Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu telah diadakan untuk menyelesaikan pelbagai masalah negara dan rakyat jelata. Pada hari ini 14.3.1957 satu Persidangan terakhir Majlis Raja-Raja Melayu sebelum negara mencapai kemerdekaan telah diadakan di Kuala Lumpur.

Di antara perkara penting yang telah dipersetujui dalam persidangan Majlis Raja-raja Melayu tersebut ialah:-

  1. Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara dan menjadi Pengerusi Tetap bagi majlis Raja-raja setelah Kemerdekaan diisytiharkan.
  2. Raja Permaisuri Agong akan diisytiharkan sebagai Wanita Pertama dalam negara yang mendahului isteri-isteri raja-raja lain.
  3. Persetujuan pengisytiharan kemerdekaan dijalankan selepas upacara penyerahankuasa secara rasmi oleh wakil Diraja Inggeris di Stadium Merdeka.

Perkara-perkara lain yang dibincangkan ialah tentang siapakah yang akan mengisytiharkan kemerdekaan. Persidangan telah mengemukakan sama ada Yang Di Pertuan Agong ataupun wakil-wakil dari keluarga Di Raja Inggeris atau Ketua Menteri. Raja-raja Melayu juga bersetuju dengan rancangan perayaan kemerdekaan yang telah dikemukakan oleh Kerajaan Perikatan di mana negara-negara yang berhaluan kiri tidak akan dijemput dan meluluskan rangka cadangan perjanjian pertahanan dan kerjasama di antara Persekutuan Tanah Melayu dan England. DAN DIHARI YANG SAMA................




Logo terkini UITM

MAJLIS ITM DITUBUHKAN UNTUK MENTADBIR INSTITUT TEKNOLOGI MARA
TARIKH PERISTIWA : 14-03-1970

Usaha untuk melatih kaum bumiputra dalam bidang-bidang profesional telah dimulakan sejak negara mencapai merdeka. Berbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan bagi memenuhi hasrat tersebut. Antaranya membuka Dewan Latihan RIDA yang berperanan untuk memberikan latihan kepada bumiputra di dalam bidang-bidang yang tidak dapat diberikan oleh badan-badan kerajaan yang lain, termasuklah bidang perniagaan dan perindustrian. Dewan Latihan RIDA ini kemudian dikenali sebagai Maktab MARA dan selepas itu dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM). Urusan pentadbirannya dipisahkan daripada Bahagian Latihan MARA pada 14 Mac 1970. Tarikh ini merupakan permulaan zaman baru dalam pentadbiran ITM yang ditadbir oleh satu majlis yang dikenali sebagai Majalis ITM atau `Governing Council’. Ahli-ahli Majlis ITM adalah terdiri dari seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan ahli antara 9 hingga 17 orang yang akan dilantik oleh Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Tugas dan tanggungjawab Majlis diterangkan dengan terperinci dalam `Majlis Amanah Rakyat Act 1966’ dan `MARA (Institute Technology) Regulations 1970’. Lima Jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah Majlis ITM untuk tujuan pentadbiran iaitu:-

· Finance and Development Committee

· Personnel Management Committee

· Board of Studies

· Board of Student Welfare

· Board of Examinations

Pengerusi pertama Majlis ini ialah Y. Bhg. Tan Sri Ghazali Shafie dan Timbalan Pengerusi pula YAB. Datuk Mansor Osman. Bermula dari perubahan pentadbiran ini ITM telah dapat mengembangkan sayapnya untuk melatih bumiputra dalam bidang-bidang profesional. Kejayaan ini adalah hasil kegigihan dan kesungguhan pihak pentabiran yang ketika itu diterajui oleh Datuk Dr. Arshad Ayub selaku Ketua Eksekutif ITM. Beliau adalah orang yang telah banyak berjasa dan berjaya memperkenalkan ITM bukan sahaja di dalam negara malah telah meningkatkan lagi perhubungan dengan universiti luar negara termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan negara-negara Eropah. Sehingga hari ini ITM telah berjaya melahirkan ramai ahli profesional yang setaraf dengan lepasan institusi luar negara. Pelajar-pelajar lepasan ITM telah dapat membantu negara mencapai matlamat pembangunan negara dan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di dalam bidang-bidang yang sebelum ini tidak dapat diceburi oleh mereka.


SELAMAT MEMBACA. IKHLAS DARI - IBM

[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...